KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat petang tadi, kecoh apabila wakil rakyat pembangkang mendakwa seorang timbalan menteri menunjukkan isyarat lucah ketika sidang ditempohkan sebelum undian belah bahagian.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi I, Willie Mongin, yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo, dikatakan menunjukkan isyarat jari tengah kepada hampir 10 wakil rakyat pembangkang.
RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, mengarahkan Willie memohon maaf atas tindakan itu.
"Tadi Pengerusi (Azhar) telah menamatkan sesi penggulungan Puncak Borneo dan ketika perbahasan sedang berjalan selepas beliau (Willie) selesaikan penggulungan.
"Beliau (Willie) telah menunjukkan isyarat lucah kepada sebelah sini (pembangkang) dan dilihat oleh semua, kira-kira 10 orang iaitu jari tengah beliau.
"Ini menghina, terutamanya kepada wanita. Saya minta Speaker (Azhar) jangan tafsirkan ini sebagai jenaka. Ia sangat serius dan minta beliau memohon maaf," katanya.
Azhar kemudian meminta Willie menjelaskan tuduhan berkenaan, manakala Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) bangun mencelah dan berkata: "Saya tidak nampak Yang Dipertua".
Azhar: "Kamu semua nak saya tangani masalah ini sekarang atau nak saya adjourn (tangguh)... jawab Timbalan Menteri, dipersilakan.
Willie: "Pengerusi, ingin saya tegaskan bahawa itu adalah tidak benar dan mungkin mereka tersalah nampak dan kalau benar..."
Penjelasan Willie itu tidak dapat diteruskan apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang bersuara serentah, sekali gus gagal meredakan ketegangan suasana di Dewan Rakyat.
Keadaan itu mendorong Azhar mematikan sistem pembesar suara bagi mengelak kekecohan berlarutan.
Azhar: "Yang Berhormat, ini bukan caranya. Timbalan Menteri dipersilakan. Saya nak dengar penjelasan sahaja."
Willie: "Baik, terima kasih Pengerusi. Ingin saya menjelaskan bahawa saya tidak menunjukkan jari tengah saya, mungkin mereka tersilap nampak tetapi kalau mereka beranggapan sedemikian. Saya bersedia meminta maaf. Terima kasih."
Ahli Parlimen pembangkang bertegas tidak bersetuju dengan penjelasan Willie, malah ada yang mencadangkan semakan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dilakukan.
Azhar yang jelas enggan memanjangkan perkara itu, menangguhkan persidangan Dewan Rakyat kepada jam 10 pagi, esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan