HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Disember 2020

Pengundi Gombak saman Azmin atas ‘penipuan’, langgar kewajipan fidusiari

KUALA LUMPUR: Sekumpulan pengundi Gombak memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen mereka, Azmin Ali, atas dakwaan penipuan dan melanggar kewajipan fidusiari, sembilan bulan selepas Langkah Sheraton yang membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Sepuluh plaintif mahu suatu pengisytiharan bahawa Azmin, selaku Ahli Parlimen, mempunyai tugas fidusiari dan/atau pemegang amanah dalam hubungannya dengan pengundi.

Dalam saman yang difailkan Tetuan Yohendra Nadaraja di Mahkamah Tinggi minggu lepas, plaintif juga mahu suatu pengisytiharan bahawa Azmin sudah melakukan tort penipuan terhadap mereka.

Mereka juga mahu suatu pengisytiharan bahwa Azmin sudah memungkiri sumpah perlembagaan mengikut Perkara 59(1) yang dibaca bersama Jadual Keenam Perlembagaan.

Plaintif juga meminta ganti rugi dan perintah lain yang dirasakan wajar oleh mahkamah.

Dalam penyata tuntutan yang dilihat FMT, plaintif berhujah Azmin membuat representasi bahawa beliau bertanding pilihan raya pada 2018 untuk menyingkir Barisan Nasional dan pegawai awam yang korup.

Selepas itu, kata mereka, Azmin menyebabkan dan/atau menyumbang kepada peletakan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari, dan menyertai pentadbiran Perikatan Nasional yang turut mengandungi BN, termasuk orang yang Azmin sendiri akui dituduh terlibat dalam kegiatan rasuah.

Tiada ulasan: