PETALING JAYA: Mereka yang mendakwa tidak perlu ada parti Melayu dominan “gagal memahami hakikat politik nasional”, tidak sensitif, dan malas berusaha untuk mengangkat orang Melayu, kata Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin.
Dalam masa yang sama, beliau berkata sebenarnya kekuatan Umno dan PAS sudah mencukupi untuk menjadi dominan.
“Yang selebihnya, akan menyebabkan ‘the space is a little bit too crowded’,” katanya dalam kenyataan.
Pada Ahad, Setiausaha PPBM Pahang, Saifuddin Abdullah diberitakan berkata tidak timbul isu parti mana lebih dominan sekiranya PPBM, PAS, dan UMNO bergabung bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15.
Katanya, dalam situasi kini semua pihak harus berlapang dada, kerana politik hari ini “harus dilihat dari sudut semasa”.
Khaled bagaimanapun berkata parti Melayu yang dominan telah lama wujud dalam politik “dan tidak boleh dinyahkan begitu sahaja”.
Malah, parti Melayu yang dominan sangat penting dalam memastikan kestabilan politik nasional, katanya.
“Sama ada kenyataan ini sensitif atau tidak, berselindung atau bersemuka, ini hakikat.”
Katanya lagi, mereka yang bercadang memencilkan pengaruh UMNO sebenarnya lemah dan tiada kekuatan untuk ditawarkan kepada bangsa Melayu.
Mereka sedar politik Melayu itu penting, katanya, tetapi tidak mempunyai sebarang agenda untuk menjayakannya.
“Misi UMNO adalah menguasai semula kerajaan melalui Barisan Nasional dengan kerjasama PAS, dan tiada siapa dapat dan patut menghalangnya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan