HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Disember 2020

Silap kira: Speaker terima usul tergempar hina dewan terhadap Shahbudin

PARLIMEN | Speaker Dewan Rakyat Azhar Aziz Harun menerima usul tergempar merujuk Shabudin Yahaya (PN-Tasek Gelugor) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan parlimen kerana salah kira undian belah bahagi.

Ini selepas surat usul tergempar pertama oleh Ahli Parlimen Fahmi Fadzil (PKR- Lembah Pantai) ditolak oleh Azhar semalam.

Dalam surat terbaru kepada Shahbudin, ahli parlimen diminta untuk memberi penjelasan serta menyertakan bukti atau dokumen yang menyokongnya pendirian dia sebelum ini.

"Adalah dimaklumkan bahawa yang berhormat (Fahmi Fadzil) telah mengemukakan surat bertarikh 1 Disember untuk merujuk Yang Berhormat Datuk (Shahbudin) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan parlimen kerana telah mengambil kira undian Yang Berhormat Padang Rengas (Nazri Abdul Aziz) walaupun beliau tidak berada di dalam Dewan Rakyat semasa undian belah bahagi (belanjawan Kementerian Kewangan) pada 30 November.

"Dalam hal ini Yang Berhormat Lembah Pantai beranggapan kejadian tersebut sebagai tindakan yang telah menghina Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12).

"Oleh yang demikian, dipohon agar Yang Berhormat (Shahbudin) dapat memberikan penjelasan mengenai perkara ini dan menyertai bukti atau dokumen yang menyokong penjelasan tersebut," kata Azhar dalam surat terbaru kepada Shahbudin.

Dihubungi kemudian, Fahmi mengesahkan perkara tersebut.

"Ya, speaker meminta Tasek Gelugor merujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

"Saya masukkan dua usul. Usul pertama di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (2) ditolak. Usul kedua di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) usul menghina dewan diterima," katanya kepada Malaysiakini.

Silap tanda Nazri Aziz sokong walau tak hadir

Pada 1 Dis lalu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa jumlah ahli parlimen yang menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan, semalam adalah 106 dan bukannya 107 seperti diumumkan.

Katanya, kesilapan berlaku apabila ahli parlimen Tasek Gelugor itu tersilap menandakan bahawa Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Renggas) turut menyokong RUU itu.

"Saya memberi makluman bahawa saya telah mendapat makluman daripada Shahbudin Yahya, ahli parlimen Tasek Gelugor semalam berkenaan senarai undi bagi blok C bagi undi belah bahagi bahawa beliau telah tersilap menandakan bagi ahli parlimen Padang Rengas bersetuju walaupun ahli parlimen tidak hadir.

"Oleh itu saya meminta keputusan belah bahagi anggaran perbelanjaan Kementerian Kewangan ditukar kepada 18 tidak hadir kepada 19. Dan 107 ahli setuju, kurang satu akan jadi 106. Manakala, 95 ahli kekal tidak setuju.

"Dengan itu, saya memerintahkan setiausaha untuk betulkan bilangan undi tersebut. Dengan perubahan undi tersebut ia tidak menjejaskan keputusan belah bahagian tersebut," kata Rashid ketika membaca kenyataan Azhar.

Untuk rekod, Shahbudin yang juga ahli parlimen Bersatu merupakan penghitung undian bagi blok C di Dewan Rakyat.

Tiada ulasan: