MALAYSIAKINI
Dewan Perhimpunan Pendukung PAS (DHPP) hari ini meminta MIC supaya tidak menimbulkan persepsi bahawa hanya parti itu menjaga kebajikan masyarakat India.
Mengulas isu perobohan kuil di Kedah baru-baru ini, Pengerusi DHPP N Balasubramaniam berkata, perkara itu perlu diselesaikan melalui meja rundingan.
"Walaupun 60 tahun MIC pernah menjadi kerajaan, mereka kena terima kenyataan bahawa kepimpinan mereka ditolak majoriti masyarakat kaum India di Malaysia.
"Saya juga berasa sedih walaupun mempunyai pengalaman yang begitu banyak tetapi mereka gagal untuk memahami cara menyelesaikan masalah yang timbul melalui meja rundingan.
"Di negeri lain pimpinan PAS seperti Kelantan dan Terengganu juga tiada wakil dari MIC akan tetapi kebajikan kaum India tetap dijaga dengan sempurna," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Dewan Negara itu berkata demikian susulan pergeseran antara MIC dan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu perobohan kuil oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di Taman Bersatu, Kuala Kedah pada 1 Dis lalu.
Kuil Sri Raja Muniswaran yang berusia 30 tahun itu dirobohkan selepas tapak tersebut - yang dimiliki kerajaan negeri - mahu dibangunkan.
Selain kuil itu, sebuah dewan silat dan lima kawasan parkir turut dirobohkan untuk dibina gelanggang futsal.
Berikutan itu Ketua Biro Aduan Awam Pemuda MIC Kebangsaan Sasitharan Samugam Pillai mendakwa kebebasan beragama tidak lagi diamalkan di negeri itu.
Sanusi dalam satu kenyataan semalam mendakwa MIC patut diharamkan kerana sengaja menghasut orang ramai untuk melanggar undang-undang negara.
Kenyataan itu dibalas oleh Presiden MIC, SA Vigneswaran yang menyifatkan Sanusi sebagai seorang pemimpin politik yang tidak matang.
Menurut Balasubramaniam, isu perobohan kuil bukan satu isu yang baru dan sudah bermula sejak zaman BN sehingga kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Isu ini tidak dapat diselesaikan jika kita saling menuding jari antara satu sama lain.
"MIC tidak berpuas hati dengan kepimpinan MB Kedah, mereka menyelar MB bukan seorang ahli politik yang senior sebab itu berlaku isu sebegini. Itu adalah satu kenyataan yang tidak tepat.
"Janganlah apabila MB tidak mendengar arahan dari mana-mana parti politik, MB itu dilabel dan dikecam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan