HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 Disember 2020

Tukar Ketua Pembangkang, pemimpin muda pun boleh - Ketua Whip Warisan

Harits Asyraf Hasnan
Tukar Ketua Pembangkang, pemimpin muda pun boleh - Ketua Whip Warisan
Rozman yang enggan menamakan individu untuk menggantikan Anwar sebagai 
Ketua Pembangkang, menyifatkan ramai muka baru dan muda layak menduduki 
kerusi itu. - Foto Fail / Pejabat Presiden PKR
 
KUALA LUMPUR: Tiba masanya blok pembangkang di Dewan Rakyat mencari individu baharu bagi mengetuai blok tersebut untuk menjadi lebih kuat.
 
Ketua Whip Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Rozman Isli berkata wujud ketidakpuasan hati dalam kalangan anggotanya terhadap kepimpinan dan hala tuju blok pembangkang yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
"Kita rasa tidak puas hati dan merasakan telah tiba masanya untuk kita bagi isyarat yang mana kita rasakan kepimpinan blok pembangkang ini perlu dilihat semula.
 
 
"Kita perlu seorang pemimpin yang boleh membawa kita menjadi satu pasukan yang lebih kuat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Labuan berkata, telah banyak peluang diberikan kepada Presiden PKR itu, namun hala tuju Anwar masih tidak jelas.
 
Beliau yang enggan menamakan individu untuk menggantikan Anwar sebagai Ketua Pembangkang, menyifatkan ramai muka baru dan muda layak menduduki kerusi itu.
 
"Saya tidak ada nama (pengganti). Cuma bagi saya, ramai (yang boleh menggantikan Anwar).
 
"Apa yang penting sekarang adalah untuk pemimpin kita yang ada sekarang kena muhasabah dan boleh menilai sesiapa (pengganti).
 
"Ramai pemimpin-pemimpin muda... dalam PKR pun banyak yang mempunyai kebolehan. Saya yakin kita akan jadi lebih kuat," ujarnya.
 
Timbul persoalan sebelum ini berkait keyakinan Warisan terhadap kepimpinan Anwar apabila tidak ada seorang anggota mereka hadir pada sesi pengundian belah bahagian melibatkan dua kementerian pada peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 pada Isnin.
 
Selain Rozman, Ahli Parlimen Warisan yang tidak hadir hari ini ialah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna), Datuk Darell Leiking (Penampang), Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Ma’mun Sulaiman (Kalabakan), Ahmad Hassan (Papar) dan Datuk Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu).
 
Astro AWANI cuba mendapatkan maklum balas dari Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung perkara ini.

Tiada ulasan: