Astro Awani

SYED ALI: Rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan kepimpinan negara
yang berupaya membela nasib mereka. - Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Pemimpin-pemimpin politik terutamanya wakil-wakil rakyat perlu terlebih
dahulu menilai sejauh mana khidmat bakti mereka terhadap pengundi di
kawasan masing-masing, daripada sibuk mencatur 'peluang' untuk
bertanding semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi
Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee menegaskan,
mereka sewajarnya menyemak dan menilai apakah selama ini mereka telah
benar-benar menyantuni dan menyelesaikan masalah rakyat dengan penuh
tanggungjawab dan amanah.
"Saya
mengingatkan demikian kerana melihat permasalahan dan kegetiran rakyat
terutama di kawasan pinggir bandar dan luar bandar yang begitu terkesan
akibat pandemik wabak COVID-19 tetapi pemimpin politik masih juga sibuk
berpolitik sepanjang masa.
"Keadaan
menjadi semakin bercelaru, perit dan mendukacitakan apabila sesetengah
pemimpin politik dilihat lebih mengutamakan agenda serta kepentingan
kuasa politik peribadi melebihi permasalahan rakyat, sehingga turut
ditegur oleh pihak istana," katanya dalam satu hantaran di laman
Facebooknya pada Isnin.
Sultan
Perak, Sultan Nazrin Shah sebelum ini bertitah, pelantikan Menteri
Besar sebanyak tiga kali sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 adalah satu
cerminan kegagalan kepemimpinan ahli politik untuk mendapat sokongan
padu dan bukannya satu kejayaan.
Baginda
bertitah, keadaan itu bukan sejarah yang perlu dibanggakan dan
sehubungan itu menggesa supaya kemelut kepemimpinan kerajaan negeri
membabitkan jawatan Menteri Besar ditamatkan.
Dalam
pada itu Syed Ali berpandangan, mana-mana pemimpin politik yang rakus,
tamak haloba dan wakil-wakil rakyat yang berkepentingan serta gilakan
kuasa, sewajarnya disingkir oleh pengundi pada PRU15 akan datang.
"Rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan kepimpinan negara yang berupaya membela nasib mereka," tegasnya.
Sultan
Nazrin Shah sebelum ini turut bertitah, kegagalan kepimpinan dalam
kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara
konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus
negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan