Perebutan kuasa bukan perkembangan yang dinanti-nantikan
PADA 16 haribulan Januari 2021, Yang di-Pertuan Agong, di atas nasihat Perdana Menteri yang mewakili Jemaah Menteri, telah berkenan untuk mengisytiharkan darurat dalam konteks pandemik COVID-19 yang semakin teruk melanda negara.
Seperti biasa, pengisytiharan ini telah mengundang pelbagai reaksi dan pandangan dari masyarakat, termasuk dari kalangan ahli-ahli politik.
Terkini, saya terbaca bahawa Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan telah memfailkan permohonan Saman Pemula untuk mencabar keabsahan nasihat dari Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat. Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dikatakan telah mengarahkan barisan peguamnya supaya memfailkan permohonan yang hampir serupa.
Saya tidak pasti sama ada Saman Pemula yang difailkan oleh Datuk seri Khairuddin Abu Hassan akan diikuti oleh pemfailan tindakan undang-undang oleh Ketua Pembangkang di atas.
Sebelum saya meneruskan tulisan ini, eloklah kita lihat peruntukan Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu:
Perkara 150. Proklamasi darurat.
(1) Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.
(2) Proklamasi Darurat di bawah Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir benar berlaku.
Seterusnya:
(2A) Kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Perkara ini termasuklah kuasa untuk mengeluarkan Proklamasi-Proklamasi yang berlainan atas alasan-alasan yang berlainan atau dalam hal-hal keadaan yang berlainan, sama ada suatu Proklamasi atau Proklamasi-Proklamasi telah dikeluarkan atau tidak oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (1) dan Proklamasi atau Proklamasi-Proklamasi itu sedang berkuat kuasa.
(2B) Jika pada bila-bila masa semasa suatu Proklamasi Darurat sedang berkuat kuasa, kecuali apabila kedua-dua Majlis Parlimen sedang bersidang serentak, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan apa- apa ordinan sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan.
Dan satu lagi:
(8) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini—
(a) hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan; dan
(b) tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan—
(i) sesuatu Proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu perisytiharan yang dibuat dalam Proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1);
(ii) kuat kuasa berterusan Proklamasi itu;
(iii) mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B); atau
(9) Bagi maksud Perkara ini Majlis-Majlis Parlimen hendaklah dikira sebagai bersidang hanya jika ahli setiap Majlis itu masing-masingnya berhimpun bersama dan menjalankan urusan Majlis itu.
Anwar Ibrahim, sebagaimana yang dilaporkan oleh portal FreeMalaysiaToday (https://www.freemalaysiatoday.com/…/anwar-akan-cabar…/), memberikan alasan-alasan berikut:
“Saya sudah mengumumkan hasrat kami untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mempertahankan Perlembagaan dan rakyat daripada penyalahgunaan kuasa amat dahsyat ini.
“Juga, pasukan undang-undang kami sudah diarah menyiapkan permohonan untuk mencabar perdana menteri dan kerajaan Malaysia atas perisytiharan darurat yang tidak berasas,” tulisnya di Facebook.
“Bolehkah kepercayaan dirayu walaupun sudah jelas darurat ini tiada kaitan dengan memerangi pandemik berbanding berpaut kepada kuasa yang, kita perlu ingat, dicapai melalui kerajaan pintu belakang tidak sah?
“Adakah kita harus mempercayai kata-kata individu yang mengkhianati perdana menterinya, partinya (dan gabungannya), serta kepercayaan dan mandat rakyat?” soalnya.
Beliau juga diberitakan telah meminta semua wakil rakyat supaya menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tujuan yang sama. (https://ismaweb.net/…/anwar-ajak-semua-mp-hantar-surat…/)
Manakala, Khairuddin Abu Hassan pula memberikan empat poin sebagai persoalan-persoalan yang perlu dijawab oleh mahkamah, di sebalik permohonan beliau:
1.a) Sama ada nasihat seorang Perdana Menteri yang telah hilang kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat mencadangkan kepada YDPA bagi pengisytiharan Proklamasi Darurat adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan,
1.b) Sama ada nasihat yang diberikan dibuat secara ‘in fraudem legis’ (mencabul kedaulatan undang-undang) bagi terus kekal sebagai Perdana Menteri,
1.c) Sama ada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang diketuai Perdana Menteri telah hilang kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mencadangkan pengisytiharan Proklamasi Darurat adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan,
1.d) Sama ada penggantungan sidang Parlimen sehingga 1 Ogos oleh seorang Perdana Menteri yang telah hilang kepercayaan majoriti adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Satu yang jelas dari kedua-dua tindakan Anwar Ibrahim dan Khairuddin Abu Hassan ialah hujahan bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai keabsahan (justification) bagi menasihati Yang Di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Darurat.
Ulasan saya:
Terdapat beberapa kalimat penting yang digunakan oleh mereka berdua:
Keabsahan
Locus Standi
Perisytiharan darurat yang tidak berasas
Hilang kepercayaan majoriti
Mencabul undang-undang
Tidak berperlembagaan
Disclaimer: Saya bukan pakar Perlembagaan jadi apa sahaja pandangan saya hanyalah satu pandangan dan ulasan peribadi semata-mata dan tidak mempunyai sebarang kesan undang-undang. Jangan diambil sebagai ‘fatwa’ pulak ya.
Pertama: Keabsahan. Saya berpandangan bahawa sebelum Anwar Ibrahim atau Khairuddin Abu Hassan ingin meminta pihak mahkamah membuat satu keputusan mengenai keabsahan tindakan Perdana Menteri, mereka sepatutnya terlebih memohon kepada mahkamah supaya menentukan keabsahan perlantikan Perdana Menteri terlebih dahulu.
Ini kerana permohonan yang telah dibuat (sekiranya telah difailkan di mahkamah) oleh mereka seolah-olah cuba mengetepikan atau tidak menyentuh tentang keabsahan perlantikan Perdana Menteri sendiri, pihak yang otoritinya sedang dipertikaikan.
Secara tersirat dan tidak langsung, perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sudah menjadi satu ‘Fait Accompli’ yang dalam bahasa mudahnya bermaksud sesuatu tindakan yang telah berlaku dan menjadi fakta sebelum mana-mana pihak yang terkesan dengan tindakan tersebut tidak lagi dapat mempertikaikan atau membatalkannya.
Maknanya, sama ada suka atau tidak suka, perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah suatu fakta yang tidak boleh dipertikaikan lagi, termasuk oleh parti-parti politik atau sesiapa sahaja.
Maka, tindakan atau persoalan undang-undang yang sepatutnya dikemukan sejak dari awal ialah keabsahan perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Sekiranya persoalan ini dikemukakan untuk diulas oleh pihak mahkamah, maka keabsahan perlantikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada 24 haribulan Februari tahun 2020 pun perlu dibangkitkan juga.
Ini kerana istilah ‘Perdana Menteri Interim’ tidak ada di dalam Perlembagaan Persekutuan. Manakala Fasal 43(2)(a) merujuk kepada prlantikan seorang Perdana Menteri oleh yang di-Pertuan Agong, setelah berpuashati bahawa nama yang dicadangkan mungkin telah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Ini tidak berlaku malah di saat Tun Dr Mahathir menghantar surat perletakan jawatan, negara tidak lagi mempunyai sebuah Kabinet atau Jemaah Menteri oleh kerana jawatan-jawatan (atau perlantikan) mereka turut gugur dan terlucut secara otomatik.
Perkara 43. Jemaah Menteri.
(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam: penjalanan fungsinya.
(2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:
(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu; dan
(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik
Menteri-Menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen;
Jadi, saya berpandangan bahawa mereka tidak berani mengemukakan persoalan ini untuk diputuskan oleh sebab ia akan makan diri sendiri.
Kedua: Locus Standi (‘tempat untuk seseorang berdiri’) Dalam bahasa mudah bermaksud kemampuan seseorang atau sesuatu pihak untuk membuktikan kepada mahkamah tentang satu kaitan atau hubungan munasabah kepada suatu undang-undang atau tindakan, di mana undang-undang atau tindakan tersebut membawa mudarat secara langsung kepada pihak berkenaan, dan justeru ia dicabar sebagai pihak yang terkesan.
Ringkasnya, adakah pihak tersebut mempunyai kedudukan di sisi undang-undang untuk mencabar? Kalau tidak ada hak, kes atau permohonan beliau boleh/akan ditolak oleh mahkamah.
Contoh mudah, kalau kita failkan satu tindakan saman terhadap seorang pemandu mabuk yang melanggar anak jiran kita hingga membawa maut, mahkamah akan menolak permohonan atau saman kita. Alasannya kita tidak mempunyai hak atau kedudukan di sisi undang-undang (locus standi) kerana kita bukan pihak yang mempunyai kaitan atau hubungan dengan si mati dan kita tidak mengalami mudharat dari tindakan pemandu mabuk tersebut.
Justeru itu kita boleh bertanya kepada Anwar Ibrahim dan Khairuddin Abu Hassan: Apakah locus standi mereka untuk membawa kes dan mencabar tindakan Perdana Menteri yang menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat?
Peruntukan manakah di dalam Perlembagaan
Persekutuan yang mereka boleh gunakan sebagai sandaran undang-undang
untuk mencabar tindakan (nasihat) Perdana Menteri?
Kemudaratan langsung yang bagaimanakah yang mereka telah alami ekoran dari perisytiharan darurat tersebut?
Beban dan tanggungjawab membuktikan locus standi adalah terletak pada Anwar Ibrahim dan Khairuddin Abu Hassan semata-mata.
Ketiga: Istilah-Istilah Bombastik.
“Penyalahgunaan kuasa amat dahsyat”
“Perisytiharan darurat yang tidak berasas”
“Hilang kepercayaan majoriti”
“Mencabul undang-undang”
“Tidak berperlembagaan”
“Kerajaan pintu belakang”
Semua kalimat di atas hanyalah retorik dan gubahan kata-kata sebagai halwa telinga semata-mata, lazimnya dimainkan berulang kali supaya (diharapkan) dapat melekat dan berbekas di hati para pendengar sehingga mereka akan bertindak menurut kerangka yang dirancang. Ini juga dinamakan satu manipulasi pemikiran dalam konteks permainan persepsi.
Bagaimanapun, semuanya perlu dibuktikan melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan sebarang undang-undang sedia ada. Kalau tidak boleh dibuktikan, kita boleh menganggapnya sebagai mengarut dan kemaruk sahaja.
Parti politik mana sekalipun yang menggunakannya, termasuklah istilah-istilah berjenama Islamik seperti Tahaluf Siyasi, Ta’awun Siyasi, Muafakat Nasional, Gabungan Sejahtera, Pakatan Harapan dan seumpamanya hanyalah kalimat-kalimat yang dicipta dalam konteks pemasaran produk-produk politik untuk tatapan masyarakat dan sebagai bahan-bahan propaganda politik sahaja.
Semuanya tidak memiliki kesan yang boleh dikuatkuasakan dari sudut perundangan.
Gesaan Anwar Ibrahim supaya semua wakil rakyat menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong pun hanyalah satu gimik murahan saja.
Catatan Akhir.
Saya berpandangan bahawa realiti pergolakan politik dan perebutan kuasa di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang semakin serius bukan suatu perkembangan yang dinanti-nantikan dengan penuh minat atau membawa maslahat kepada seluruh rakyat. Negara dan rakyat sudah cukup terhimpit dan terkesan dengan pandemik ini dan menghadapi masa depan yang sangat tidak menentu dari aspek-aspek sosial, ekonomi, politik, kejiwaan, kekeluargaan dan keselamatan hidup secara umum.
Entah berapa lama lagi pula tempoh kesulitan dan ketidaktentuan ini harus dilalui.
Dalam keadaan serba getir ini, parti-parti politik dan para pemimpinnya perlu bijak menentukan keutamaan dan memilih maslahat yang lebih besar. Saya percaya rakyat tidak terlalu fanatik dengan permainan dan pencak silat politik kepartian ini melebihi kebimbangan dan kerisauan mereka terhadap situasi pandemik sekarang dan kesan akibatnya ke atas mereka.
Para politikus ini semua perlu diberi peringatan, amaran dan ancaman bahawa yang menaikkan mereka ke jawatan dan kedudukan mereka yang mewah sekarang datangnya dari tangan-tangan rakyat yang memangkah di peti-peti undi. Ia bukan satu mandat yang boleh dikhianati dan dijual beli dengan harga politik yang sangat murah atau dilemparkan ke sebelah menurut kepentingan diri sendiri atau bujukan hawa nafsu.
Pada waktu yang sama, rakyat juga bukan tidak peka dengan imbangan kuasa yang sangat rapuh di antara kerajaan pemerintah dan pihak pembangkang. Mereka juga secara jujurnya tidak ingin melihat negara ini terumbang ambing atara keserakahan dan haloba untuk berkuasa yang sedang dipertontonkan setiap hari oleh pemimpin-pemimpin politik yang angkuh dan sudah hilang rasa malu.
Saya pasti rakyat akan memberikan pengajaran yang setimpal kepada mana-mana ahli politik yang mementingkang diri sendiri, khianat, tiada pendirian dan prinsip, menjadi tali barut dan pak sanggup, yang lupa kepada mandat dan amanat, yang rasuah dan gila kuasa dan yang menganggap diri mereka tidak lagi perlu kepada rakyat bawahan.
Masa untuk rakyat membuat perhitungan muktamad akan tiba juga satu masa nanti.
Sekarang ialah tempoh peperiksaan besar bagi parti-parti politik dan para pemimpinnya.
Meskipun tertekan dengan pandemik COVID-19 ini, rakyat sedang menilai.
Perisytiharan darurat adalah mekanisma yang tepat bagi tujuan ini.
(*) Mohd Luttfi Abd Khalid- Pemerhati politik - ISMA WEB
Tiada ulasan:
Catat Ulasan