MARANG: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yakin kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan tumbang, sebaliknya akan diperkukuhkan, di sebalik spekulasi Umno mungkin menamatkan kerjasama dengan PPBM pimpinan Perdana Menteri, Muhyidin Yassin.
Ahli Parlimen Marang itu membayangkan masih terlalu awal untuk merumuskan Umno tidak akan meneruskan kerjasama dengan PPBM yang membentuk kerajaan PN bersama PAS, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) 10 bulan lalu.
“Kita mahu kukuhkan lagi PN dan (lagipun) Umno belum membuat keputusan muktamad (mengenai kerjasama dengan PPBM),” katanya dipetik Sinar Harian.
“Ia tidak boleh melalui bahagian dan ahli biasa, mereka (Umno) ada MT (Majlis Tertinggi), ada Biro Politik dan ada perhimpunan agung,” kata Hadi selepas menyampaikan kuliah dalam talian di Masjid Rusila.
“Kami tidak mahu campur, ia (pergeseran Umno dan PPBM) akan diurus dengan baik. Insya Allah.”
Majlis Kerja Tertinggi Umno akan mengadakan perhimpunan agung pada 31 Jan ini untuk memutuskan sama ada meneruskan kerjasama dengan PPBM atau sebaliknya.
PN mempunyai majoriti amat rapuh di Dewan Rakyat dan sebarang keputusan Umno menarik balik sokongan terhadap PPBM serta kerajaan akan mencetuskan kemungkinan pilihan raya umum diadakan.
Mengenai desakan beberapa pemimpin Umno untuk PRU diadakan dalam suku pertama tahun ini, Hadi menolak cadangan itu susulan peningkatan kes Covid-19 dan bencana banjir yang kian buruk di beberapa negeri.
Beliau berkata, kerajaan perlu membendung pandemik Covid-19 terlebih dahulu, sebelum membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15.
“Biar selesai Covid-19 dan banjir dulu, takkan (buat PRU) masa banjir dan Covid-19 tengah merebak lagi. Kita kena bincang dengan KKM (Kementerian Kesihatan) dan pihak berkenaan.
“Kita tidak mahu membebankan rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan