PUCHONG: Pengerusi Barisan Nasional Selangor (BN), Noh Omar mencabar Menteri Besar, Amirudin Shari dan datuk bandar Subang Jaya untuk berdialog esok berhubung tindakan Majlis Bandaraya Subang Jaya merobohkan kedai penjaja di Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai.
Penjaja dan peniaga kecil di sepanjang Jalan Taqwa di sini berkata, mereka diminta berpindah ke pusat penjaja lain yang terletak berdekatan.
Bagaimanapun, mereka mendakwa lokasi itu tidak sesuai, malah lot seluas 8 kaki x 8 kaki terlalu kecil, selain kekurangan kemudahan yang diperlukan, khasnya bagi mereka yang menjual makanan.
Bercakap kepada media selepas perjumpaan dengan peniaga terbabit, Noh sangat kecewa dengan keputusan merobohkan kedai itu, terutama keadaan sekarang yang disifatkan bukan waktu sesuai.
“Sekiranya anda ingin mengambil tindakan terhadap peniaga, semuanya mesti dilakukan dengan budi bicara. Itulah prinsip saya ketika menjadi menteri perumahan dan kerajaan tempatan,” katanya ketika turun padang melawat kedai terlibat.
Beliau sedia maklum MBSJ mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap penjaja tidak berlesen, namun langkah itu perlu dipertimbangkan semula ketika ramai peniaga kecil terjejas akibat perintah kawalan pergerakan dan pandemik COVID-19.
“Kita lihat hari ini dengan COVID-19, kerajaan persekutuan memberikan bantuan kewangan berjuta-juta ringgit kepada perniagaan.
“Rakyat tahu pasal ini, jadi adakah menteri besar Selangor pekak atau buta? Tak lihat apa yang berlaku (kepada rakyat)?” soalnya.
Mengenai pusat penjaja baru yang berdekatan, katanya, MBSJ tidak mempertimbangkan pandangan peniaga kecil dan penjaja.
Katanya, kawasan itu kekurangan kemudahan diperlukan dan tiada tempat memasak sesuai untuk penjaja makanan.
Walaupun menyambut baik cadangan menaik taraf warung, beliau menegaskan MBSJ seharusnya membuat perancangan lebih baik.
Khadijah Che Lah, 62, yang menjual aksesori wanita, berkata mereka diberi notis mengosongkan premis tahun lalu.
Katanya, beliau berniaga di situ sejak 2007 dengan lesen operasi sementara.
Susulan itu, beliau terkesan akibat perobohan kedainya dan pendapatannya kini berkurangan lebih 50% sejak pandemik bermula.
Bagaimanapun, Presiden Persatuan Pedagang Primawalk Puchong, Ismail Awang berkata, penjaja tiada masalah berpindah ke lot baru, tetapi lebih selesa di lokasi sedia ada.
“Bukan tidak mahu pindah, tetapi seboleh-bolehnya mereka ingin kekal
di sini. Kami diberi lesen untuk beroperasi, tetapi tiba-tiba pula
(pihak berkuasa) ingin membesarkan jalan? Sebelum ini tidak timbul isu
itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan