HALAMAN SANTAI

Sabtu, 9 Januari 2021

Sengketa dengan PPBM dedah Umno kepada risiko menjadi tidak relevan, kata penganalisis

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata, Umno berkemungkinan menjadi tidak relevan dalam kalangan penyokongnya jika ia terus gagal membuat keputusan mengenai hubungannya dengan PPBM.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, ahli akar umbi parti itu jelas mengenai apa yang mereka mahu pimpinan parti itu lakukan.

Walaupun kebanyakan bahagian Umno tidak mahu parti itu bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya akan datang, namun Majlis Kerja Tertinggi Umno masih menimbangkan baik-buruk langkah memutuskan hubungan dengan PPBM.

Majlis itu, yang merupakan badan pembuat keputusan tertinggi dalam Umno, menangguhkan keputusan sehingga perhimpunan agung tahunannya pada akhir bulan ini.

Lee berkata, Barisan Nasional (BN) bakal paling rugi susulan kerjasama Umno-PPBM-PAS.

“PPBM dan PAS paling untung kerana dengan bantuan Umno mereka berjaya membentuk kerajaan walaupun Umno mempunyai kerusi terbanyak dan menikmati sokongan akar umbi paling kuat.”

Lee berkata, kepimpinan parti itu berisiko kehilangan sokongan akar umbi selagi hubungan dengan PPBM kekal.

“Kepemimpinan Umno berada dalam dilema dan setiap kali parti itu gagal bertindak, maka kedudukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadi semakin kukuh katanya.

Bekas ahli akademik dari Universiti Teknologi Malaysia Azmi Hassan berkata, beliau yakin pandemik Covid-19 menghalang kepimpinan Umno daripada bertindak kerana mereka tidak mahu dipersalahkan kerana menyebabkan pilihan raya umum diadakan.

Pada masa sama katanya, BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) tahu akan kesukaran untuk membentuk kerajaan dengan majoriti selesa tanpa bekerjasama dengan satu atau yang lain.

“Walaupun Umno paling kuat dalam PRU15, parti itu tahu mereka tidak mampu melakukannya bersendirian kerana PPBM dan PAS akan memecahkan undi orang Melayu.

“Perkara sama terpakai kepada PPBM dan PAS sekiranya mereka tidak bekerjasama dengan Umno.”

Beliau berkata, pengorbanan perlu dibuat kerana BN atau PN tidak akan mendapat undi bukan Melayu yang boleh menjadi undi penentu.

“Bagi saya, walaupun kepemimpinan Umno keberatan, namun Muhyiddin dan PPBM perlu memastikan Umno kekal dalam kerjasama itu kerana tidak mungkin parti itu akan membelakangkan akar umbi mereka jika PPBM tidak mahu berkorban.”

Tiada ulasan: