HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 Januari 2021

SOP tidak jelas, Mohamed Azmin mesti diambil tindakan .

  Mohamad Athir Ismail

PIHAK berkuasa digesa mengambil tindakan terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Gesaan demikian berikutan menteri kanan itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menghadiri gotong-royong di Pengerang, Johor.

Tindakan terhadap beliau digesa diambil apabila rakyat tidak berpuas hati terhadap Ahli Parlimen Gombak itu yang bebas melakukan aktiviti melanggar SOP.

Malah, beliau juga dilihat berkumpul dalam satu kawasan atau ruang tertutup lebih daripada lima orang.

Sedangkan ketika PKP, aktiviti berkumpul di tempat awam adalah dilarang bagi memutuskan rantaian jangkitan Koronavirus (Covid-19).

Lebih mendukacitakan, Mohamed Azmin dilihat membuat kesalahan itu di negeri Johor yang merupakan salah satu negeri dikuatkuasakan PKP bermula pada 13 Januari.

“Hentikan layanan dua darjat dalam pematuahn SOP PKP.

“Lebih mengeruhkan keadaan hingga menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat apabila pelaksanaan SOP dilihat berat sebelah dan hanya dikenakan kepada rakyat.

“Manakala menteri-menteri dilihat bebas untuk melakukan pelbagai aktiviti yang melanggar SOP itu sendiri.

“Sebagai contoh, berkenaan rombongan rentas negeri Menteri Kanan, Timbalan Speaker dan beberapa pimpinan PN (Perikatan Nasional) yang lain bagi beberapa program termasuklah dengan mengadakan mesyuarat, program di dalam dewan, makan berkumpulan serta beberapa aktiviti lain melibatkan himpunan ramai.

“Ini jelas melanggar SOP yang dikenakan iaitu larangan mesyuarat agensi kerajaan dan swasta melibatkan wakil agensi luar serta larangan acara yang melibatkan orang awam di kawasan PKP.”

Demikian ciapan, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir, membidas tindakan bekas Timbalan Presiden PKR yang melanggar SOP PKP.

Sebelum ini, agensi berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam Twitternya mendedahkan gambar Mohamed Azmin sedang bergotong-royong membersihkan sebuah surau di Kampung Bukit Raja Darat di Sungai Rengit, Pengerang.

Ciapan bergambar itu kemudian telah dipadam selepas mendapat kecaman netizen yang tidak berpuas hati terhadap beliau melanggar SOP PKP.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah juga mengkritik kerajaan apabila tidak menyatakan dengan jelas mengenai SOP yang didakwanya kerap bertukar-tukar dan mengelirukan ramai pihak.

Katanya, SOP antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri juga dilihat bertentangan sehingga menimbulkan kekeliruan.

“Bukan itu sahaja, percanggahan arahan SOP juga merupakan antara isu utama yang sering mendapat rungutan rakyat.

“Sebagai contoh, pada 12 Januari 2021, Menteri Kanan Keselamatan berkata bahawa program ke kawasan bencana dibenarkan.

“Namun pada 14 Januari 2021, Menteri Besar Pahang pula mengeluarkan arahan bahawa program dari luar Pahang terutama dari zon merah yang dilaksanakan PKP adalah tidak dibenarkan.

“SOP yang tidak jelas dan ditambah dengan layanan istimewa kepada menteri dalam pematuhan SOP perlu dihentikan.

“Janganlah pengorbanan rakyat yang terkesan teruk akibat PKP terutamanya dari segi pendapatan dan kehidupan disia-siakan dengan amalan dua darjat ini,” tegasnya.

Terdahulu Suara Merdeka turut melaporkan kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang menegur semua pihak supaya mematuhi SOP PKP.

Beliau berkata, petugas frontliners tidak boleh dipersalahkan jika jangkitan Covid-19 terus meningkat. – SM

Tiada ulasan: