HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 Januari 2021

Surat SUA UMNO menderhaka kepada Agong, bersekongkol dengan DAP, Anwar

Wartawan MalaysiaGazette
MGF31072020_SOLAT-AIDILADHA-DAN-IBADAH-KORBAN17
Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Surat Setiausaha Agung UMNO kepada ahli-ahli Parlimen yang memberi masa kurang dari 24 jam untuk menggesa Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang Parlimen boleh ditafsirkan sebagai cubaan menderhaka terhadap baginda.

Malah, surat yang ditulis oleh Datuk  Seri Ahmad Maslan bertarikh 18 Januari itu satu usaha jelas bersekongkol dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP yang sebelum ini meminta perkara sama dilakukan oleh ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai SUA UMNO itu juga tidak pernah dibincang atau diputuskan oleh parti.

”Ia bercanggah sama sekali dengan kenyataan akhbar YB DS Presiden bertarikh 12hb Januari Para 1 yang menyebut:

“UMNO menjunjung titah Tuanku SBP YDP Agong yang memperkenankan Perisytiharan Darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, sebagaimana nasihat YAB Perdana Menteri…

”Kalau sudah ‘menjunjung titah’, dan itu keputusan parti, mengapa pula YB Dato’ Sri cuba membelakangi kenyataan rasmi Presiden Parti?” Soal Annuar dalam surat kepada Ahmad Maslan hari ini.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional itu juga merumuskan surat yang ditulis oleh Ahmad Maslan itu bercanggah dengan ketetapan parti yang berkali-kali menegaskan memegang prinsip No Anwar No DAP.

Sehubungan dengan itu Annuar meminta Ahmad Maslah menarik balik surat tesebut dan disifatkan sebagai tidak berpelembagaan serta bercanggah dengan dasar dan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Beliau berkata, kaedah perisytiharan darurat dan perjalanan legislatif semasa darurat termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan cukup jelas.

Katanya, ahli-ahli Parlimen UMNO, Barisan Nasional dan juga lain-lain parti tidak boleh membuat petisyen kepada Agong untuk membatalkan apa yang telah diputuskan mengikut Perlembagaan.

”Tidak ada peruntukan undang-undang untuk kita berbuat demikian. Tidak ada paksi undang-undang untuk kita berpegang. Tindakan kita akan gagal,” katanya lagi.

Annuar dalam surat kepada Ahmad Maslan melahirkan rasa dukacita kerana surat SUA UMNO itu mengandungi kesilapan besar dalam mentafsirkan Fasal 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

MalaysiaGazette sedang mendapatkan respon daripada SUA UMNO. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: