Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir, tidak ada apa-apa yang mengejutkan terhadap serangan terbaharu Dr. Mahathir ke atas Anwar.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Tun Dr. Mahathir semasa majlis anjuran Parti Pejuang Tanah Air terhadap YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilihat tiada yang mengejutkan dan menyerlahkan hakikat keterdesakan politik beliau.
“Amat malang apabila majlis yang sepatutnya digunakan oleh YB Tun Dr. Mahathir untuk menerangkan tentang hala tuju partinya, dijadikan sebagai platform untuk menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sikap Tun Dr. Mahathir ini menunjukkan seolah-olah kewujudan Parti Pejuang itu hanya semata-mata ingin menafikan kewibawaan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dan Pengerusi Pakatan Harapan,” kata Akmal dalam satu kenyataan.
Malam tadi, Dr.Mahathir berkata, beliau tidak mempercayai Anwar selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu pada Rabu mengumumkan sedia bekerjasama dengan bekasnya secara bersyarat menerusi cadangan pembentukan gagasan pembangkang perdana.
“Sudah berapa kali beliau mendakwa, beliau ada majoriti kuat, kukuh dan menyakinkan? Eh, you pi baliklah. Kalau kamu masih mahu mempercayai beliau, itu masalah anda. Tetapi saya sudah tidak lagi mempercayainya,” kata Dr. Mahathir.
Sementara itu Akmal meminta pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk sedar bahawa Dr. Mahathir menunggang jenama ‘grand coalation’ pembangkang untuk digunakan sebagai strategi pecah dan perintah.
Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir, bekas perdana menteri itu sudah sering menggunakan strategi yang sudah lapuk itu untuk memecah-belahkan PH.
“AMK juga merasakan telah tiba masanya untuk Pakatan Harapan ‘move on’ daripada episod kerjasama dengan Tun Dr Mahathir.
“Amat tidak masuk akal sekiranya ulang siar strategi lapuk ini mampu memperdaya dan memecah belah kesepaduan dan kesepakatan KEADILAN dan Pakatan Harapan,” kata Akmal.-SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan