HALAMAN SANTAI

Isnin, 11 Januari 2021

UMNO tidak akan runding kerusi PRU15 dengan Bersatu - Tajuddin Rahman

Abd Razak Mohd Ali
UMNO tidak akan runding kerusi PRU15 dengan Bersatu - Tajuddin Rahman
Tajuddin berkata ini kerana UMNO telah membuat keputusan untuk tidak 
akan bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum itu nanti.
 
PASIR SALAK: UMNO tidak akan mengadakan rundingan pengagihan kerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
 
Beliau berkata, ini kerana UMNO telah membuat keputusan untuk tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum itu nanti.
 
Beliau berkata, UMNO hanya berunding dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN).
 
"Tak ada rundingan, apa nak runding lagi dah... kita dah tolak Bersatu. Kita tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya yang akan datang.
 
"Dengan sebab itu, apa yang nak dirunding. Nak runding ini kalau kita bekerjasama dengan mereka. Keputusan Majlis Tertinggi (UMNO) dah tolak kan... (usul) yang nak dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO... itu formaliti saja.
 
"Jumlah UMNO bahagian yang bawa usul putus kerjasama itu lebih daripada majoriti. Ketua-ketua bahagian, bahagian-bahagian yang bawa usul tidak mahu bersama dengan Bersatu... apa lagi, majoriti tak mahu, takkan Perhimpunan Agung nak tolak," katanya.
 
BACA: MKT UMNO sudah setuju putus kerjasama dengan Bersatu... - Zahid Hamidi
BACA: Usul putus kerjasama politik: Bersatu hormat pendirian UMNO - Mohd Rafiq
 
Beliau ditemui selepas Program Kami Prihatin, Seronoknya ke Sekolah di Dataran Belia, Felcra Changkat Lada, Pasir Salak pada Ahad.
 
Pada Sabtu, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, parti itu sudah selesai mengadakan rundingan kerusi bersama Pas dan akan bertanding sekurang-kurangnya 96 kerusi Parlimen dalam PRU15.
 
Nazri berkata, UMNO tidak akan memberi ruang kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertanding di kerusi Parlimen yang dimenangi UMNO pada PRU14 lalu.

Tiada ulasan: