HALAMAN SANTAI

Jumaat, 8 Januari 2021

UMNO tunggu masa ‘terkubur’ angkara ditunggang pemimpin tersepit .

MINDA RAKYAT


BANGI – Kemelut di dalam UMNO ketika ini memungkinkan parti yang kononnya memperjuangkan bangsa Melayu itu ‘terkubur’ tidak lama lagi.

Bukan hanya sudah terpesong jauh daripada landasan perjuangannya, malah kepimpinan UMNO hanya ‘menunggang’ parti demi melepaskan diri yang semakin tersepit.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman mendakwa, kemelut yang sedang berlaku di dalam parti itu hanya berpunca daripada masalah peribadi Presiden serta bekasnya iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak.

“Ia adalah gerakan mereka menggunakan parti untuk menyelamatkan diri daripada beberapa kes pendakwaan rasuah dan salah laku di mahkamah.

“Jadi, kedua-dua pemimpin ini kelihatan terdesak dan sanggup menggadaikan prinsip,” dakwanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sejak beberapa hari lalu, konflik dalaman UMNO semakin meruncing sehingga menyaksikan Tan Sri Annuar Musa digugurkan sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Kemelut kian berpanjangan apabila Annuar mengesahkan wujud sokongan secara hitam putih membabitkan pemimpin tertinggi UMNO, kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN). 

Terbaharu, media melaporkan 189 bahagian UMNO mahu memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). 

Mengulas perkara itu, Abdullah Zaik berkata, UMNO yang dahulunya hampir ‘lemas’ selepas digulingkan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sanggup bekerjasama dengan Bersatu. 

Namun, setelah mula mendapatkan semula sedikit sokongan daripada rakyat, parti itu sudah meninggikan tuntutan, katanya. 

“Tak mustahil, UMNO juga akan tinggalkan PAS kalau mereka sudah rasa kembali kuat. 

“Pada saya, UMNO akan terkubur juga, cuma tunggu masa saja. Solusinya, golongan Islamis perlu bersatu dan mencorakkan hala tuju negara ini,” katanya.

Tiada ulasan: