Astro Awani

Mohd
Fuad menegaskan, dakwaan DAP sangat serius dan boleh menjejaskan
keyakinan lebih tiga juta ahli parti sendiri kepada Presiden parti. -
Foto:
UMNO Johor
KUALA LUMPUR:
Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu segera meminta Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi memberikan penjelasan dakwaan DAP terhadap rundingan parti itu
dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH).
Ketua
UMNO Bahagian Bakri, Mohd Fuad Tukirin menegaskan, dakwaan DAP sangat
serius dan boleh menjejaskan keyakinan lebih tiga juta ahli parti
sendiri kepada Presiden parti.
Jelasnya ia boleh menyebabkan UMNO tersungkur sekali lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
"Kuasa
tertinggi dalam hierarki UMNO iaitu MT perlu meminta Ahmad Zahid
membuat penjelasan itu sebelum atau semasa Perhimpunan Agung UMNO demi
kebaikan dan survival parti.
"Kita tidak
mahu UMNO kalah sekali lagi dalam isu DAP dan Anwar. Apa guna kita
berpolitik kalau parti yang kita bawa bertanding kalah PRU nanti. Isu
macam ini yang akan menjatuhkan UMNO sekali lagi.
"Memang jelas doktrin UMNO ialah 'No DAP',
sebab kita tidak tahu apa Perlembagaan dan polisi parti itu.
Suara-suara sudah ditimbulkan dalam mesyuarat perhubungan dan sebagainya
tentang isu ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada
Isnin, Pengarah Biro Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong
mendakwa Anwar berunding dengan Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Razak.
Beliau
yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan berkata demikian sebagai
mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad
berkenaan jemputan kepada Anwar untuk membawa PKR menyertai 'Langkah
Sheraton'.
Memetik tulisan di blognya, beliau berkata, kenyataan Nik Nazmi berkemungkinan untuk mengingatkan agar pemimpin DAP 'bersyukur'.
Sebelum
ini, Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman Bakri berkata,
sesiapa sahaja termasuk MT UMNO dan Ahmad Zahid boleh dihukum jika
terbukti menjalinkan kerjasama dengan PKR dan DAP.
Ujarnya, ia selaras ketetapan Presiden UMNO serta MT sendiri yang tidak akan melanggar dasar parti 'No DAP, No Anwar'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan