
KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan terletak kepada tangan parti Pas sama ada untuk terus bermuafakat dengan Barisan Nasional (BN) atau bersama-sama dalam Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, menurutnya, parti Islam itu dilihat memperoleh lebih banyak kelebihan sekiranya memilih untuk bekerjasama dengan UMNO dan BN berbanding PN.
“Pas mempunyai lebih bermanfaat jika mereka bersama BN. Kalau Pas bersama kita maka di kawasan majoriti Melayu kita rasakan mereka akan selamat.
“Tetapi kalau bukan dengan BN, kita terpaksa berdepan semula dan tidak tentu lagi apa keputusan.
“Kalau boleh UMNO mahu Pas bersama dengan kita dalam MN. Itu bukan keputusan kita, ia lebih kepada keputusan Pas sendiri,” katanya dalam sidang media selepas ucapan perasmian perhimpunan agung sayap-sayap Pemuda, Wanita, dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan