Astro Awani

Dr Kamarul Yusoff menekankan, kenyataan Pelaksanaan Undi18 itu berkait
dengan isu teknikal termasuk menaik taraf sistem ICT SPR.
SEBELUM mengecam, semak dahulu kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Azhar Azizan Harun, pada 3 September 2019.
Pensyarah
Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti
Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Yusoff menekankan, kenyataan
Pelaksanaan Undi18 itu berkait dengan isu teknikal, antara lainnya
ialah:
i) Menaik taraf sistem ICT SPR;
ii)
Keperluan data-data dari jabatan/agensi kerajaan yang lain, antaranya
Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penjara dan/atau Mahkamah serta
Kementerian Kesihatan Malaysia;
iii) Pindaan kepada mana-mana undang-undang atau peraturan pilihan raya yang perlu untuk melaksanakan Undi18;
iv)
Pindaan kepada Perlembagaan Negeri ataupun Undang-undang Tubuh Kerajaan
Negeri untuk membolehkan warganegara yang berumur 18 tahun menjadi
calon Dewan Undangan Negeri.
Tegasnya,
merujuk kepada perkara keempat (iv), semakan kepada data rasmi
menunjukkan sehingga kini hanya Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak,
Sabah dan Sarawak sahaja yang bersetuju menerima Undi18, katanya
menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya.
Selain
itu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor menolak
Undi18, sementara, Kedah dan Pulau Pinang belum memutuskan menerima atau
menolak Undi18.
"Bukankah Negeri-Negeri Selangor dan Negeri Sembilan yang menolak Undi18 adalah berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan?
"Dan
bukankah Negeri Pulau Pinang yang belum memutuskan menerima atau
menolak Undi18 juga adalah berada di bawah pemerintahan Pakatan
Harapan?" soalnya.
Justeru, berdasarkan
situasi berkenaan, beliau menyarankan Majlis Presiden Pakatan Harapan
menilai semula tindakan Pakatan Harapan Negeri Selangor, Negeri Sembilan
dan Pulau Pinang sebelum mengkritik SPR.
"Dan
daripada berdemo di depan Parlimen, eloklah Pemuda Pakatan Harapan
terlebih dahulu berdemo di depan Dewan-Dewan Undangan Negeri Selangor,
Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Inilah agaknya yang disebut oleh peribahasa Melayu: “Kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi”, ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan