SHAH ALAM: Krisis dalaman PKR dan rakaman audio tular didakwa membabitkan Anwar Ibrahim dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tidak akan memberi kesan kepada sokongan pengundi di Selangor menjelang pilihan raya umum akan datang, kata Menteri Besar Amirudin Shari.
Beliau berkata, kejadian keluar atau lompat parti oleh wakil rakyat sudah menjadi perkara biasa sebelum ini, namun PKR di Selangor terus kukuh, malah kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu kekal dengan majoriti 2/3 dalam Dewan Undangan Negeri hingga kini.
“Bukan baru-baru ini sahaja ada wakil rakyat kita keluar parti, malah pada penggal 2008-2013, sejumlah Ahli Parlimen keluar (parti), ADUN Pelabuhan Klang ketika itu juga isytihar ahli Bebas.
“Dari semasa ke semasa, apa pun yang berlaku, kita masih kuat dan mempunyai 2/3 majoriti di DUN Selangor. Ia terbukti menerusi pelbagai program bersama rakyat yang dilaksanakan sehingga kini,” katanya selepas merasmikan program K2K (Kita untuk Kita) Selangor di Shah Alam, hari ini.
Beliau ditanya mengenai gerak kerja PKR negeri dalam mendapatkan mandat rakyat menjelang pilihan raya umum ke-15 susulan beberapa krisis yang melanda kepimpinan PKR sejak akhir-akhir ini.
Terbaru, Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai naib presiden PKR dan keluar parti itu pada 13 Mac lalu.
Dalam catatan di Facebook selepas itu, Xavier, yang menyertai PKR sejak parti itu ditubuhkan pada 1998 berkata, beliau amat kecewa dengan perkembangan politik tanah air dan mahu membantu kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerangi wabak Covid-19 serta memulihkan ekonomi.
Kepimpinan Anwar menerajui PKR juga menjadi perdebatan dalam kalangan anggota parti susulan tularnya rakaman perbualan telefon mirip suara beliau dan Zahid didedahkan di media sosial.
Rakaman perbualan itu mencetuskan kontrovesi apabila diuar-uarkan sebagai “bukti” kerjasama antara dua pemimpin itu untuk menjatuhkan kerajaan Muhyiddin Yassin.
Anwar dan Zahid nafi mengadakan rakaman perbualan berkenaan, sebaliknya menyifatkannya sebagai percubaan untuk memfitnah mereka dan parti masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan