HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 April 2021

Hilman ‘dangkal’ mengenai Perlembagaan PN – Noh

Oleh OMAR ZIN
NOH OMAR

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar menyifatkan Setiausaha Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Selangor, Muhammad Hilman Idham seorang yang ‘dangkal’ berhubung isu cadangan pelantikan penyelaras Parlimen di kawasannya.

Ketika mengulas menerusi rakaman video di akaun Facebook miliknya, beliau menganggap pelantikan penyelaras Parlimen tidak boleh dilakukan kerana ia tidak termaktub dalam Perlembagaan PN.

“Perlembagaan PN Fasal 22 menyebut bahawa Badan Perhubungan Kawasan hendaklah terdiri daripada seorang ketua, timbalan-timbalan ketua dan sebagainya. 

“Ini berbeza dengan apa yang disebut oleh Hilman iaitu Jawatankuasa Penyelaras Parlimen hendaklah mengandungi tiga wakil rakyat dari tiap-tiap parti anggota,” katanya.

Oleh sebab itu, Noh menganggap kenyataan Hilman bercanggah dengan Perlembagaan PN.

“Wahai Hilman, baca betul-betul, tidak ada istilah penyelaras Parlimen di dalam PN. Yang ada adalah Badan Perhubungan Kawasan atau dilantik menjadi Ketua Badan Perhubungan Kawasan. Mesti tahu perbezaan di antara Pengerusi Penyelaras Parlimen dengan Ketua Badan Perhubungan Kawasan. 

“Dua perkara berbeza, kalau hari itu dia sebut nak lantik Ketua Badan Perhubungan Kawasan, saya lebih faham. Itu betul dia lantik. Ini dia buat pengumuman nak lantik Pengerusi Penyelaras Parlimen dan kemudian nak menegakkan benang basah, dia ‘quote’ Perlembagaan yang berbeza,” katanya.

Justeru, Noh meminta Hilman supaya berhati-hati membuat kenyataan yang boleh memalukan PN.

Beliau mengulas kenyataan Hilman yang menyifatkan Noh sebagai dangkal dan membabi buta selepas beliau memberi amaran mahu menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN sekiranya terdapat usaha melantik seorang penyelaras di kerusi Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Noh berkata, sekiranya PN masih bertegas untuk melantik penyelaras Parlimen, ia bermakna PN tidak mengiktiraf beliau sebagai ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN. – UTUSAN

Tiada ulasan: