HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 April 2021

Antara #kerajaangagal dan pemimpin yang gagal

PADA tahun 2008, Kerajaan Barisan Nasional (BN) hampir tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12). Politik persepsi, propaganda dan memanipulasikan isu telah menyebabkan Kerajaan BN hampir ditolak rakyat.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih pucuk pimpinan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, BN tetap masih gagal mendapat kembali majoriti dua pertiga dalam PRU-13.

Pada PRU-14, ‘nyawa’ pemerintahan BN berakhir di bawah Najib, apabila isu 1MDB dimainkan habis-habisan oleh pembangkang diketuai oleh Tun Dr.Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri kali kedua selepas itu.

Najib dan BN ‘diserang’ kiri dan kanan. Persepsi diwujudkan berhubung isu 1MDB apabila kerajaan dilihat ‘tergagap-gagap’ mahu menjawabnya manakala beberapa pemimpin disingkirkan daripada UMNO kerana membangkitkan isu… menyebabkan rakyat membuat keputusan menolak BN dalam PRU-14.

Begitu juga dalam isu GST, cukai itu sangat baik kerana selain mendapat pendapatan negara ia juga mampu menghalang kelompok yang mengelak daripada membayar cukai dengan pelbagai alasan.

Penulis masih ingat bagaimana ketika itu ada pasukan petugas khas memburu mereka yang tidak membayar cukai walaupun duit berbilion-bilion ada dalam akaun. Bagaimanapun GST telah diburukkan dengan persepsi oleh pembangkang.

Pembangkang bukannya tidak tahu kebaikan cukai tersebut tetapi mereka sengaja buat-buat tidak tahu kerana misinya ialah mewujudkan persepsi kepada kerajaan BN ketika itu. Dan keadaan BN bertambah parah apabila isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion pula timbul. Kerajaan bukannya tidak buat penjelasan tetapi semuanya sudah ditutupi dengan persepsi dan propaganda pihak lawan.

Kini Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang menghadapi ‘serangan’ yang sama. Peningkatan kes Covid-19 menjadi ‘peluru’ untuk mewujudkan persepsi rakyat terhadap kerajaan dengan hastag #kerajaangagal. Selama dua hari #hastag itu trending di Twitter.

Walaupun peningkatan kes Covid-19 juga berlaku di negara-negara lain pada hari dan tarikh yang sama sehingga ke hari ini namun fakta itu tidak pernah diambil kira.

Sebaliknya kerajaan diperlekehkan seolah-olah tidak melakukan apa-apa bukan sahaja bagi menangani pandemik tersebut tetapi juga membantu rakyat.

Sedangkan faktanya kerajaan sudah melaksanakan pelbagai usaha antaranya Bantuan Prihatin Nasional, morotarium pinjaman bank, bantuan khas untuk perusahaan kecil dan sederhana, subsidi upah, diskaun bayaran bil elektrik dan inisiatif lain di bawah pakej rangsangan ekonomi serta banyak lagi.

Penulis tidak perlu ulas secara terperinci berapa bilion yang sudah dibelanjakan oleh kerajaan bagi tujuan itu. Segalanya boleh diketahui dengan melayari https://pre2020.treasury.gov.my/index.html atau https://www.pmo.gov.my/ms/pakej-rangsangan-ekonomi-prihatin/.

Begitu juga dengan soal peningkatan kes-kes Covid-19 sejak beberapa hari ini. Ada kelompok yang ‘berpesta’ apabila ia dianggap ‘peluru ampuh’ untuk ‘menyerang’ kerajaan dengan membangkitkan soal pengisytiharan darurat, sekatan rentas negeri dan program vaksinasi.

Penulis tidak kisah kalau yang membangkitkan ini adalah orang biasa-biasa tetapi malangnya ada juga dalam kalangan bertaraf pemimpin membuat andaian bukan-bukan terhadap peningkatan kes itu.

Mereka mendesak kerajaan supaya membentangkan data dari mana datang peningkatan kes baru sehingga 2,000 kes. Dalam bahasa mudah, mereka cuba membangkitkan keraguan apakah jumlah benar-benar fakta atau ia satu rekaan oleh kerajaan.

Paling tidak wajar ada pula mengaitkan peningkatan kes itu dengan usaha kerajaan untuk mengekalkan kuasa politik. Dahsyat! sampai ke tahap itu pemikiran politik mereka.

Dr.Noor Hisham Abdullah

Tetapi kelompok ini terlupa atau buat-buat lupa bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah memberi amaran mengenai perkara ini melalui kenyataan Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah pada Januari lalu.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/773585/kes-harian-covid-19-boleh-cecah-8000-kes-sehari

Dalam kenyataannya beliau berkata,;

Statistik kes baharu COVID-19 berkemungkinan meruncing dengan unjuran 8,000 kes sehari seawal minggu ketiga Mac depan, sekiranya nilai kebolehjangkitan (RO) melepasi kadar 1.2.

Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikekalkan dengan RO dicatat pada kadar 1.1, unjuran kebolehjangkitan COVID-19 mencecah 8,000 kes sehari dapat diperlahankan sehingga minggu kedua Mei.

KKM meramalkan gelombang ketiga pandemik itu boleh meningkat secara mendadak kepada 5,000 kes harian menjelang minggu ketiga Februari dan terus melonjak pada Mac jika RO kekal pada tahap 1.2.

Cuba fikirkan kita kini berada pada minggu ketiga April, jangkitan baru sekitar 2,000 kes, ia bermakna usaha dilakukan oleh KKM dan kerajaan melalui pelbagai kementerian sudah berjaya. Dan gelombang yang berlaku bukan sahaja melanda Malaysia tetapi juga negara lain.

Pada Sabtu lalu, Sky news melaporkan, jumlah kes baru kembali meningkatk di seluruh dunia iaitu mencapai 700,000 sehari.

Beberapa negara juga mencatatkan kes baru yang mendadak, contohnya Arab Saudi yang kes baru mula mencecah kembali angka lebih 900 selepas beberapa bulan, begitu juga di Thailand yang kes harian naik mendadak lebih 1,500 kes. Banyak lagi negara lain juga ada hadapi situasi itu, adakah ia menunjukkan mereka pun ada #kerajaangagal?

Justeru adalah sesuatu yang ‘jahil’ jika ada mana-mana ahli politik berusaha mewujudkan persepsi dalam kalangan rakyat dengan menggambarkan seolah-olah angka kes Covid-19 yang diumumkan oleh kerajaan meragukan.

Kalau nak berpolitik pun agak-agaklah, janganlah berhujah sehingga menampakkan ahli politik itu sebenarnya terdesak dan kononnya mahu menjadi pejuang rakyat. Tidak salah untuk menjadi pembela rakyat, tetapi usahlah nampak macam nak cari salah kerajaan semata-mata.

Lagipun sekarang bukan zaman 90-an yang tidak ada Internet. Ketika zaman itu mungkin fakta atau angka boleh dimanipulasikan atau kerajaan mungkin boleh menyembunyikan apa-apa maklumat.

Tetapi sekarang abad ke-21, semua maklumat di hujung jari, semua maklumat boleh tersebar begitu mudah waima kalau ada pemimpin berkahwin dua secara senyap-senyap pun, satu negara boleh tahu.

Justeru adalah sesuatu yang cukup tidak bijak jika kerajaan mahu menyembunyikan atau mereka-reka fakta apatah lagi melibatkan kes-kes besar seperti Covid-19.

Sebenarnya, mereka yang melakukan ‘serangan’ ke atas kerajaan ini tahu kebenarannya tetapi sengaja berbuat demikian bagi memburuk-burukkan kerajaan kerana ‘dendam politik’. Itu sahaja.

Sama ada kerajaan gagal atau tidak, biarlah rakyat putuskan dalam pilihan raya umum nanti cuma yang pasti kerajaan gagal ialah hilang kuasa dalam pilihan raya kerana pemimpinnya ada isu atau pemimpinnya tiba-tiba-tiba letak jawatan hingga tumbang kerajaan.

Semua rentetan #kerajaangagal itu akan terus terpahat dalam sejarah politik tanah air apatah lagi kalau ada ‘isu’ yang menarik perhatian dunia sehingga ke hari ini.

Tiada ulasan: