HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 April 2021

Tampil jelaskan kluster Covid-19 libatkan pelajar – Maszlee

Oleh ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN
MASZLEE MALIK

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi harus menjelaskan kluster penularan wabak Covid-19 yang melibatkan pelajar dan penuntut universiti secara menyeluruh serta terperinci.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik berkata, ia berikutan peningkatan kes penularan wabak Covid-19 dalam kalangan golongan tersebut sehingga turut menyebabkan kegusaran kepada ibu bapa dan penjaga.

“Rakyat ingin tahu kluster manakah yang melibatkan sekolah, politeknik, kampus institut pendidikan guru (IPG), universiti mahupun kolej.

“Hal ini tidak boleh dipandang remeh. Pihak berwajib terutama dua kementerian ini harus tampil untuk memberikan penjelasan. Para pemegang taruh perlu ditenteramkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlee menuntut agar menteri-menteri berkaitan untuk tampil memberi penjelasan sepatutnya.

Tambahnya, dua kementerian itu sepatutnya mengambil pendekatan mendidik dan berkongsi informasi secara telus kerana rakyat semakin matang untuk menilai.

“Rakyat ingin tahu apakah langkah yang telah dan akan diambil dalam keadaan terkini demi membendung wabak dan mengelakkan spekulasi liar dalam kalangan masyarakat setempat yang terkait dengan kluster-kluster tersebut,” katanya.

Maszlee turut meminta penjelasan daripada Kementerian Pendidikan membuka sesi persekolahan secara bersemuka di sekolah pada Mac lalu.

“Tindakan tidak lagi menutup sekolah secara pukul rata dan menyerahkan keputusan dibuat di peringkat local adalah amat baik.

“Hal ini juga perlu diperjelaskan kepada pihak awam dan mengapa tindakan tersebut diambil juga perlu dikongsikan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: