HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 April 2021

Anwar berdepan ujian terbesar selepas dinamakan lagi sebagai calon PM

MalaysiaNow

Anwar merupakan calon perdana menteri sejak Pilihan Raya Umum 1999 namun pada 2018, Dr Mahathir menggantikan beliau sebagai calon perdana menteri pembangkang.

Pilihan Pakatan Harapan (PH) untuk Anwar Ibrahim menjadi calon perdana menteri bukanlah satu yang mengejutkan bagi yang mengikuti politik Malaysia, akan tetapi kali ini ahli politik veteran berumur 70-an itu mengetuai pembangkang yang tidak bersatu seperti ketika mengambil alih kuasa tiga tahun lalu.

Anwar sudah menjadi calon perdana menteri semenjak pilihan raya umum 1999 kecuali pada 2018 apabila Dr Mahathir Mohamad dijadikan sebagai calon.

Akan tetapi ini merupakan kali pertama Anwar mengetuai gabungan tanpa sekatan politik, atau pertempuran undang-undang – sekurang-kurangnya masih belum ada ketika dinamakan sebagai calon perdana menteri awal bulan ini.

Anwar pertama kali dinamakan sebagai calon perdana menteri pada pilihan raya umum 1999, setahun selepas dipecat kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas dipersiapkan sebagai calon bagi menggantikan perdana menteri pada ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Sejak itu, empat pilihan raya umum menyaksikan beliau berada dalam penjara, atau tidak bertanding kerana sekatan politik disebabkan sabitan jenayah, atau seperti tahun 2013 apabila pendakwaan baru liwat menghantuinya.

Kali ini, seperti tahun 1999, beliau akan menyertai pilihan raya umum selepas terlepas peluang terbaik untuk menjadi perdana menteri.

Dengan penglibatan lebih empat dekad dalam politik kepartian, Anwar dilihat sebagai satu-satunya pemimpin dalam kalangan angkatannya yang tidak pernah merasai kerusi perdana menteri.

Sejak pemecatannya dari kerajaan, Abdullah Badawi, Najib Razak dan Muhyiddin Yassin, yang bersama-sama Anwar memegang jawatan Kabinet pada satu ketika dahulu sudah merasai kerusi perdana menteri.

Seorang penganalisis berkata PH sudah tiada pemimpin lain untuk diangkat sebagai ketua.

“Walaupun dia diselubungi persepsi negatif, dia masih boleh mendapatkan cukup sokongan berbanding pemimpin lain dalam PH. Ini merupakan pilihan terbaik yang dipunyai PH pada ketika ini,” kata Azmi Hassan kepada MalaysiaNow.

Azmi tidak memberikan penjelasan lanjut tentang persepsi negatif yang dimaksudkannya, tetapi terdapat peningkatan kritikan terhadap presiden PKR itu selepas dilihat bekerjasama dengan pemimpin Umno sepertinya presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak, dengan ketiga-tiganya dilihat selari dalam menyerang kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pendedahan perbualan telefon antara beliau dengan Zahid menimbulkan persoalan tentang apa yang sanggup dilakukan Anwar untuk mendapatkan kuasa.

Tetapi Azmi tetap yakin dengan kemampuan Anwar untuk meraih sokongan dalam kalangan bank undi PH.

“Ia merupakan pilihan terbaik PH dan mungkin salah satu pilihan terbaik untuk rakyat apabila pilihan raya diadakan tidak lama lagi,” kata Azmi.

Hisommudin Bakar yang mengetuai Ilham Centre yang mengkaji trend pengundian dalam beberapa pilihan raya umum turut bersetuju menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri merupakan keputusan terbaik bagi PH.

Akan tetapi katanya, isu dihadapi PH termasuk trend pengundian untuk gabungan itu mungkin tidak sama seperti 2018, ketika skandal 1MDB Najib dan isu lain mempengaruhi keputusan pengundi.

“Gelombang sokongan juga mungkin tidak setinggi PRU lepas,” kata Hisommudin.

Beliau menambah, sekiranya pilihan raya diadakan pada ketika pandemik masih berleluasa, ini akan memberikan kesan terhadap peratusan keluar mengundi.

Hisommudin berkata, Anwar masih perlu berhempas pulas mendapatkan sokongan di luar kawasan majoriti bukan Melayu.

Dalam kalangan Melayu, masih terdapat penentangan hebat untuk Anwar diberikan kerusi perdana menteri, katanya.

“Oleh itu, dengan track record ketidakmampuan menunaikan janji, serta sudah berpengalaman di dalam pentadbiran kerajaan, PH perlu berhati-hati kali ini merangka manifesto yang ‘doable’, bukan sekadar membawa elemen populis dalam menarik sokongan,” katanya.

Hisommudin berkata, karisma Anwar semakin merosot selepas seringkali mendakwa mempunyai sokongan mencukupi untuk menjadi perdana menteri.

“Beliau hilang cengkaman dalam naratif perjuangan rakyat yang lebih meyakinkan. Mungkin terlalu menumpukan usaha untuk mengambil alih kerajaan sehingga sedikit terabai dalam segmen memperjuangkan nasib rakyat.

“Jika tidak, menamakan calon PM sahaja tiada sebarang impak besar yang boleh memungkinkan kemenangan buat PH dalam PRU akan datang,” katanya.

*Siva Selan turut menyumbang dalam laporan ini.

Tiada ulasan: