HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 April 2021

Undi18, AGC bantah permohonan

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
 
Shamsul (tengah) selepas prosiding kes di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini meengemukakan bantahan awal terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan 18 orang anak muda untuk melaksanakan Undi18 secara automatik (AVR).

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan selaku reponden berkata, bantahan awal yang difailkan hari ini, dibuat atas alasan permohonan yang dikemukakan 18 orang anak muda yang mewakili gerakan Undi18 selaku pemohon itu adalah pramatang dan remeh.

Menurut Shamsul semua undang-undang dan peraturan yang diperlukan perlu dipinda sebelum pendaftaran pemilih automatik dapat dilaksanakan.

Katanya, pemohon dalam tuntutannya berkata bahawa penguatkuasaan dan pelaksanaan seksyen 3(a) dan 3(b) Perlembagaan pindaan boleh dilakukan secara berasingan selain pendaftaran orang berkelayakan boleh dilakukan secara manual dan AVR dapat dilakukan di kemudian hari.

“Dalam hujahan kami, dikemukakan bahawa penguatkuasaan dan pelaksanaannya ke kawasan pilihan raya pindaan tidak dapat dilakukan secara terpisah dan harus dilakukan bersama,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid di Mahkamah Tinggi di sini.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mei ini untuk mendengar kebenaran semakan kehakiman tersebut.

Dalam prosiding itu, semua pemohon diwakili peguam-peguam Datuk S.Ambiga, Datuk Gurdial Singh Nijar, Abraham Au dan Lim Wei Jiet.

Hari ini sepatutnya ditetapkan pendengaran bagi memulakan semakan kehakiman namun disebabkan AGC mengemukakan bantahan awal pemohon memerlukan masa untuk mengemukakan hujahan balas terhadap bantahan awal itu.

Pada 2 April lalu, 18 orang anak muda yang mewakili gerakan Undi18 memfailkan semakan kehakiman terhadap Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya masing-masing sebagai responden pertama hingga ketiga di Mahkamah Tinggi di sini bagi menuntut dua perisytiharan mahkamah.

Dua perisytiharan itu ialah tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan penurunan umur pengundi daripada 21 ke 18 adalah tidak rasional, tidak sah, tidak berpatutan dan merupakan pencabulan hak pengundi.

Mereka juga menuntut pengundi berumur 18 ke 20 tahun berhak mengundi menjelang Julai 2021.

Para pemohon menuntut perisytiharan daripada Mahkamah bahawa penangguhan oleh kerajaan dalam pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Undi18 adalah tidak rasional, melanggar proses dan semangat undang-undang, serta mencabul hak pengundi.

Selain itu, para pemohon juga merayu kepada mahkamah untuk mengarahkan kerajaan melaksanakan Seksyen 3(a) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 pada atau sebelum Julai 2021. -K!ONLINE

Tiada ulasan: