HALAMAN SANTAI

Sabtu, 17 April 2021

Menjawab dakwaan Dr Mahathir Mohamad, Lim Guan Eng berkata, parti 
itu tidak pernah menolak DEB, tetapi menentang keras salah guna dasar 
yang bertujuan membasmi kemiskinan dalam kalangan orang Melayu itu 
oleh pihak tertentu.

PETALING JAYA: Lim Guan Eng membalas kenyataan Dr Mahathir Mohamad selepas bekas perdana menteri itu berkata, DAP “melukakan” orang Melayu kerana menentang Dasar Ekonomi Baharu (DEB) sebelum ini.

Setiausaha agung DAP itu berkata, parti itu tidak pernah menolak DEB, tetapi menentang keras salah guna dasar yang bertujuan membasmi kemiskinan dalam kalangan orang Melayu itu oleh pihak tertentu.

“Apa yang ditentang keras oleh DAP ialah penyelewengan dalam pelaksanaan DEB oleh kelompok elit dan kroni dari semua kaum yang menyebabkan berleluasanya salah guna kuasa, rasuah dan pembaziran dana awam yang terus memerangkap orang Melayu dan bukan Melayu dalam kemiskinan.

“Justeru ratusan bilion ringgit wang yang dibelanjakan tidak berjaya membebaskan rakyat daripada perangkap kemiskinan susulan salah laku tersebut,” katanya dalam kenyatan hari ini.

Lim juga berkata, DAP menolak pengenalan kemiskinan dan kekayaan dengan kaum tertentu dengan menyifatkannya sebagai menyeleweng dan berpotensi menyebabkan perpecahan.

Beliau berkata, prinsip parti itu ialah semua rakyat Malaysia hendaklah diberikan peluang dan bantuan yang saksama berdasarkan keperluan.

“Sama ada ketika berada dalam kerajaan atau pembangkang, DAP tidak pernah menentang DEB atau dasar yang menyediakan bantuan dan peluang saksama kepada rakyat Malaysia yang miskin.

“Rekod kami dalam kerajaan di Pulau Pinang dan Putrajaya sangat jelas.

Bekas menteri kewangan semasa pentadbiran Mahathir itu berkata, DAP sentiasa bersikap sederhana dan inklusif, dengan menyebut bahawa sebilangan pemimpin parti itu pernah dipenjarakan kerana memperjuangkan keadilan untuk orang Melayu.

Terdahulu hari ini, ketika menjelaskan kenyataannya dua minggu lepas, Mahathir berkata, DAP sebelum ini bersikap ekstrem berkait pandangan kecinaannya, tetapi mengakui Lim dan bapanya Lim Kit Siang kini lebih sederhana.

Tiada ulasan: