HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 April 2021

Gambaran kerjasama Warisan-Muda makin jelas


MOHD. SHAFIE APDAL

KOTA KINABALU: Khabar angin mengenai gabungan Warisan dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin jelas.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, penting untuk Warisan dan Muda mewujudkan satu landasan yang memungkinkan pemimpin pelapis dapat dilahirkan.

Kenyataan itu memberi gambaran yang cukup jelas gabungan mana akan terbentuk menjelang PRU-15.

“Saya akan mainkan peranan saya dan orang seperti Syed Saddiq Abdul Rahman (pengasas bersama Muda) juga ada peranannya, jadi kita kena saling membantu.

“Jangan tamak dengan menyangka orang lain ingin mengambil alih peranan kita. Sampai bila kita hendak bertahan, kadangkala bila berada di atas (berjawatan) tiada hadnya tetapi, di peringkat bawah ada pula ditetapkan had umur.

“Untuk itu, kita kena mewujudkan satu sistem di mana kita menggalakkan orang muda untuk berjaya dan terlibat dalam politik,” katanya semasa siaran langsung Facebook ‘Borak Jam 10’ bersama Syed Saddiq semalam.

Menurut Ahli Parlimen Semporna itu, Muda antara landasan yang boleh digunakan untuk menampilkan bakat muda yang boleh dibimbing menjadi pemimpin pelapis di negara ini.

Namun katanya, penglibatan pemimpin berpengalaman masih diperlukan.

“Kita boleh biarkan anak muda melakukan apa yang mereka mahu tapi kita juga kena menasihatkan dan memberi panduan kepada mereka seandainya mereka terbabas,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkasa anak muda menjadi keutamaan dalam Warisan dan ia terbukti dengan lantikan pemimpin-pemimpin muda seperti Datuk Darell Leiking, Datuk Mohd. Azis Jamman dan Isnaraissah Munirah Majilis dalam Kabinet Persekutuan semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Mohd. Shafie berkata, ekonomi adalah alat terbaik untuk menyatukan umat melalui perkongsian kekayaan.

“Kalau gunakan bangsa dan agama boleh mewujudkan perbalahan tetapi jika menggunakan ekonomi yang tidak mengira apa bangsanya, penyatuan kaum itu boleh dilakukan,” katanya. UTUSAN

Tiada ulasan: