HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 April 2021

UMNO 3.0: MCA tak mahu buang masa

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
WEE Ka Siong dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MCA Johor di Ibu pejabat MCA negeri di Johor.

JOHOR BAHRU: MCA mengambil pendekatan untuk tidak terlibat dengan sebarang kumpulan kecil dalam rakan komponen Barisan Nasional (BN) ekoran desas-desus wujudnya UMNO 3.0 dalam parti berkenaan.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, hal itu kerana menurut pihaknya, hanya ada satu sahaja UMNO.

“Saya tidak faham apa maksudnya 3.0, hanya ada satu sahaja UMNO jadi saya tidak mahu membuang masa (mengulas berhubung perkara itu). MCA, MIC dan UMNO adalah adik-beradik bersama dengan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), kita adalah satu keluarga.

“Apa yang saya tahu, MCA, MIC dan UMNO merupakan gabungan parti politik pertama dalam negara, jadi kita mempunyai tanggungjawab untuk bekerja demi rakyat, ini keutamaan kita,” katanya sebagai mengulas arah tuju kerjasama MCA dengan UMNO ekoran desas-desus wujudnya UMNO 3.0.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MCA Johor di Ibu pejabat MCA negeri di sini hari ini.

Sementara itu, MCA masih mengambil sikap ‘mengunci mulut’ berhubung soal pengagihan kerusi bersama parti komponennya dalam BN.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, beliau berkata, adalah terlalu awal untuk hal tersebut dibangkitkan dan hanya akan membincangkannya apabila sampai masa bersama dengan pucuk pimpinan.

“Bagi saya terlalu awal, yang penting buat kerja di kawasan masing-masing dahulu, kita tidak mahu jadi bidan terjun hanya berada di kawasan menjelang atau sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) sahaja. Ini tidak dialu-alukan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, MCA perlu mempunyai gerak kerja yang kukuh dalam mendampingi rakyat memandangkan terdapat banyak isu yang harus diberi perhatian termasuk membantu mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

“Sementara itu di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM), ahli parti telah diminta untuk bekerjasama dengan rakan komponen BN dalam mengatur gerak kerja bagi menyantuni masyarakat.

“Pada ketika ini kita sepatutnya tunjuk keprihatinan kerana ada rakyat hidup susah. Kita perlu hulur bantuan dengan menggunakan jaringan yang ada,” katanya. UTUSAN

Tiada ulasan: