HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 April 2021

PAS sifatkan dakwaan DAP sebagai tohmahan

JOHOR BAHRU: PAS menyifatkan dakwaan DAP bahawa ia adalah parti paling berbahaya dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), sebagai tohmahan.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berpandangan bahawa DAP menyifatkan parti itu berbahaya kerana bimbang akan ideologi PAS yang mengutamakan Islam.

"PAS hanya bahaya kepada DAP kerana ideologi parti itu bertentangan dengan ideologi kami yang mengutamakan Islam," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau dan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dengan KPRJ Builders Sdn Bhd (KBSB).

Media sebelum ini melaporkan DAP menyifatkan PAS sebagai parti paling berbahaya dalam kerajaan PN.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dipetik sebagai mendakwa ini kerana hasrat PAS untuk melaksanakan persempadanan semula yang berpihak kepada orang Melayu sekiranya menang dua per tiga pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), adalah dasar aparteid yang menafikan hak bukan Islam.

Mengulas lanjut isu persempadanan semula yang didakwa DAP, Mohd Khairuddin berkata, realiti adalah setiap parti politik mahu memperluas penguasaan masing-masing.

"Menjadi hak rakyat Malaysia, terutama orang Islam untuk memperluaskan wakil Parlimen, khususnya membabitkan negeri di Pantai Timur. Ini kerana sudut keluasan dan jumlah Parlimen yang tidak sepadan.

"Sebagai contoh, Terengganu sejak 1963 hanya ada lapan Parlimen dan tiada perubahan hingga kini. Itu perkara yang kita mahu perbetulkan dan kembalikan hak rakyat Terengganu.

"Kelantan, Kedah dan Pahang juga sama perlu diberi hak yang lebih untuk persempadanan semula.

"Memanglah DAP sebagai pembangkang akan mendakwa ia merugikan. Namun, dakwaan parti itu bahawa persempadanan semula yang berpihak kepada orang Melayu jika menang dua per tiga pada PRU-15 nanti merupakan dasar aparteid yang menafikan hak bukan Islam, adalah tidak benar," katanya.

Tiada ulasan: