HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 April 2021

Saya tak sebut nama, ‘Kluster Mahkamah’ tak tuju pada pemimpin parti tertentu, kata Faiz Bersatu


 
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman, berkata sebarang spekulasi mengenai ‘Kluster Mahkamah’ itu adalah bersifat tafsiran terbuka dan pemahaman masing-masing.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman, berkata mengaitkan “Kluster Mahkamah” yang disebut dalam kenyataannya dengan pemimpin parti politik tertentu hanyalah spekulasi.

Beliau menepisnya sebagai tafsiran masing-masing, kerana dia tidak menyebut nama mana-mana individu atau parti politik ketika menggunakan istilah itu.

“Ia sudah pasti tidak ditujukan kepada semua akar umbi atau pemimpin parti tertentu. Maka tiada sebab untuk menjadikannya sebagai alasan untuk memprovokasi pihak yang tidak berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Faiz dilaporkan berkata, selain ancaman Covid-19, “Kluster Mahkamah” yang terdiri daripada sekumpulan ahli politik juga adalah musuh utama negara ketika ini.

Katanya, “Kluster Mahkamah” itu berselindung di sebalik perjuangan ketuanan Melayu sebagai tirai untuk melindungi ketamakan dan kepentingan peribadi, sama seperti modus operandi kartel tender yang dibanteras Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

“Mereka jugalah antara pengkhianat bangsa yang sanggup menggadai kepentingan negara dan hak Bumiputera serta muslim hingga Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal mencapai matlamatnya. Mereka ini kita kenali sebagai ‘Kluster Mahkamah’,” kata Faiz dalam kenyataan itu.

Beliau tidak menjelaskan lebih lanjut siapa ahli politik dimaksudkannya, tetapi berkata “Kluster Mahkamah” itu sekelompok “binatang politik” yang sudah terlalu lama menjadi “panglima perang” dalam arena politik.

Kenyataan Faiz itu mengundang jawaban balas daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Armand Azha Abu Hanifah, yang mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional tertubuh dengan sokongan Umno.

Antara ahli politik yang kini berdepan perbicaraan di mahkamah ialah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, dan bekas presiden parti itu, Najib Razak.

“Sebarang spekulasi mengenai ‘Kluster Mahkamah’ itu adalah bersifat tafsiran terbuka dan pemahaman masing-masing,” kata Faiz hari ini.

Tiada ulasan: