HALAMAN SANTAI

Isnin, 5 April 2021

PM guna nama glamour? PKR serah kepada pihak berkuasa – Fahmi

MGF04042021_PKRWANNITA05
Bekas Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Mohamed Fadzil memotong kek sempena hari kelahiran parti PKR yang ke-22 tahun pada Mesyuarat Agung Tahunan AMK, Wanita dan Cabang PKR Lembah Pantai di Hotel Signature, Bangsar.Foto HAFIZ SOHAIMI

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak bercadang untuk mencabar keabsahan jawatan Perdana Menteri di mahkamah susulan Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa tidak menggunakan nama sebenar.

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat sejauh mana dakwaan itu berasas dan boleh memberi kesan kepada kestabilan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada hari ini.

“Itu saya serah kepada mahkamah, bagi saya sekarang baru tahu kesan apabila beliau menandatangani pada waktu itu dengan nama glamour, bukan nama sebenar.

“Ramai yang bertanya sewaktu angkat sumpah, adakah beliau menggunakan nama betul atau pun nama glamour atau pun macam mana.

“Itu saya serah kepada pihak berkuasa untuk teliti,” katanya kepada pemberita di Signature Hotel Bangsar South hari ini.

Terdahulu bekas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan Wanita dan AMK serta jentera pilihan raya Cabang Lembah Pantai.

Pada 2 April lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan perintah penahanan yang ditandatangani Muhyiddin Yassin tahun lalu yang ketika itu merupakan menteri dalam negeri.

Ini kerana menteri berkenaan menandatanganinya menggunakan nama glamor Muhyiddin Mohd Yassin dan bukannya nama dalam kad pengenalan (MyKad), Mahiaddin Md Yasin.

Peguam, Danial Amir Hamzah berkata, pesuruhjaya kehakiman Norsharidah Awang Jumaat lalu membenarkan permohonan habeas corpus oleh Sabahan Awang Sari Lasikan.

Danial hadir bersama peguam, Zafran Zafri Mohd Zaini mewakili Awang seorang pekerja am yang ditahan di bawah perintah yang ditandatangani Muhyiddin pada 10 Mac tahun lalu.

Dalam pada itu, Fahmi tidak menafikan perkembangan terbaru itu membuktikan betapa rapuhnya kestabilan Kerajaan PN pada hari ini, apatah lagi saban hari dilanda pelbagai kontroversi.

“Satu demi satu, hari demi hari malah jam demi jam kita lihat bagaimana krisis demi krisis melanda kerajaan PN. Jelas bila Presiden UMNO berkata, UMNO boleh tarik diri bila-bila masa, sejauh mana kestabilan kerajaan hari ini dalam keadaan macam itu.

“Kami di dalam Keadilan dan PH akan terus perkukuhkan jentera parti dan bersiap sedia untuk apa-apa kemungkinan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: