
KUALA LUMPUR – UMNO boleh bekerjasama dengan MCA yang merupakan parti sangat ekstrem dan sepatutnya tidak menghadapi masalah sekiranya mahu bersama dengan DAP.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berata, DAP juga sedar masyarakat di Malaysia berbilang bangsa dan tidak semua akan menyokongnya dalam politik.
“Saya pernah bekerjasama dengan DAP dan sudah pasti parti ini kadang-kadang terlampau tapi boleh bekerjasama dengan mereka,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Progam Dialog Hala Tuju FINAS untuk penggiat filem negara di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam satu wawancara menerusi sebuah portal apabila berkata, tidak mustahil UMNO menjalin kerjasama dengan DAP pada masa depan sekiranya parti itu membawa politik kesederhanaan yang boleh membantu memperkukuhkan kestabilan negara.
Beliau membayangkan kerjasama sedemikian sukar dijalin pada masa ini kerana imej perkauman parti itu yang sebilangan besarnya adalah kaum Cina.
Dalam pada itu, Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, ia terpulang kepada UMNO untuk memutuskan sama ada mahu bekerjasama dengan DAP atau tidak.
Menurut beliau, DAP ketika berada dalam Pakatan Harapan (PH) pernah berjanji akan bertindak seimbang dalam semua perkara sama ada pentadbiran di peringkat negeri ataupuh wilayah.
Sementara itu, ketika ditanya pandangannya berhubung pergolakan yang
berlaku dalam Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional, Mahathir
menjawab, itulah kesukaran yang berlaku di negara ini apabila terlalu
banyak parti politik dan tiap-tiap parti itu menghadapi masalah
perpecahan. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan