HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 April 2021

Semua parti Melayu diseru ketepi fahaman politik

Oleh MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN
NAZIR Hussin Akhtar Hussin (dua dari kiri) bersama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi; Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Rashidi Abd. Razak (kanan) dan Ketua Dewan Pemuda Pas Titiwangsa, Abdul Rahman Hamzah (dua dari kanan) dalam sidang akhbar sempena Iftar Ramadan Ukhwah Islamiyah yang disertai Pergerakan Pemuda UMNO, Dewan Pemuda Pas, Armada Bersatu, PKR dan Amanah di Hotel Tamu, Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi UMNO dan parti-parti politik Melayu Islam di peringkat Pusat diseru bersatu dan mengetepikan perbezaan fahaman politik.

Ketua Pemuda Pergerakan UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, tiada alasan untuk masyarakat dan parti politik Melayu Islam terus berpecah sedangkan mereka berpegang kepada kepercayaan dan akidah yang sama.

Justeru, beliau menuntut agar kepemimpinan tertinggi partinya serta semua kepimpinan Melayu Islam termasuk kerajaan dan pembangkang memecahkan tradisi ‘duduk semeja’ sama seperti yang dilakukan beliau di peringkat bahagian.

“Kalau Pemuda UMNO, PKR, Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah) boleh duduk bersama, kenapa di peringkat atas tidak mahu mulakan? Kita jadikan hari ini sebagai satu titik tolak supaya sama-sama di peringkat tertinggi supaya letak tepi ideologi politik selagi mana kita menyokong agama Islam dan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

“Kita berpegang kepada al-Quran yang sama. Berpegang pada tali Allah SWT dan jangan bercerai. Kalau kita baca al-Quran yang sama, sujud pada Tuhan yang sama, kenapa kita tidak boleh duduk semeja? Apapun matlamat kita adalah untuk membina masa depan yang baik untuk negara dan bangsa,” katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menghadiri program Iftar Ramadhan Ukhwah Islamiyah anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa.

Kenyataan itu hadir selepas beliau pertama kalinya mempertemukan semua ketua pemuda parti Melayu kerajaan dan pembangkang bahagian Titiwangsa melibatkan Kepimpinan Dewan Pemuda Pas, wakil daripada Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Titiwangsa, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah).

Dalam pada itu, beliau berharap, kebersamaan antara parti-parti Melayu itu tidak hanya berakhir setakat bulan Ramadan sebaliknya berkekalan sehingga matlamat dan agenda penyatuan orang Melayu dapat dicapai di peringkat nasional.

“Kita mengambil kesempatan di bulan Ramadan ini kerana ia adalah satu bulan yang sangat baik kerana ia boleh mengeratkan hubungan silaturrahim dan switch off (padamkan) politik dan suhu politik dapat diredakan.

“Inilah masa terbaik untuk bersama-sama duduk satu meja dan mengorak langkah ke depan. Kita tidak mahu perbezaan ideologi menyebabkan orang Melayu Islam berpecah belah dan akhirnya merugikan negara,” katanya.

Ketika ditanya perlunya sebuah gabungan baharu dibentuk yang menggabungkan kepimpinan Melayu Islam, kata Nazir Hussin: “Itu yang saya harapkan. Tidak kiralah sama ada dinamakan sebagai gabungan baharu atau kesatuan, yang penting adalah semua parti Melayu Islam mencari jalan untuk bersatu.” – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: