HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Jun 2021

Zahid dengar nasihat Anwar lagi, guna MT desak Menteri UMNO letak jawatan?


Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sudah dijangka Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menggunakan Majlis Tertinggi (MT) bagi mendesak Menteri dan Timbalan Menteri UMNO supaya meletak jawatan mereka daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum 1 Ogos nanti.

Tempoh 14 hari yang diberikan dengan menggunakan alasan penderhakaan dalam kenyataan Zahid adalah langkah untuk menghalalkan keputusan MT nanti bagi memberi tekanan kepada kumpulan Menteri dan Timbalan Menteri supaya patuh dengan keputusan parti.

Zahid dilihat tergesa-gesa dengan mengeluarkan kenyataan sebaik Mesyuarat Biro Politik berakhir diadakan semalam walhal Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah memberikan komitmen untuk membuka sidang Parlimen dan persiapan sudah pun sedang dijalankan.

Kenyataan-kenyataan Zahid kebelakangan ini juga dilihat cenderung dan senada sama dengan blok pembangkang, adakah beliau kini sedang menari mengikut rentak politik yang sama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggapnya sebagai ‘cikgu’?

Dalam pendedahan klip audio tular sebelum ini antara Zahid dan Anwar, terdapat satu bahagian dalam perbualan tersebut yang menyentuh berhubung strategi untuk menggunakan platform MT dalam memastikan pakatan sulit tersebut berjaya dilaksanakan.

Transkrip perbualan Anwar dan Zahid:

Anwar: No no ok… I tengok ucapan you ni bagus .. and then the mattter MT.. and of course kita nak finish the game tapi kalau you dah fikir mandat itu ok la… cuma ada kerja sikit dengan MT je la.

Zahid: MT tu senang saja sebab dah solid dah tu… mudah.

Transkrip penuh boleh dibaca disini: Tular klip audio Anwar, Zahid bincang strategi semasa PAU

Untuk rekod, kedua-dua mereka tidak menafikan kesahihan klip audio tersebut walaupun pada awalnya mahu membuat laporan polis selepas ia tular.

Dalam perkembangan politik terkini, suhu politik kembali menjadi panas sebaik berakhirnya pertemuan antara wakil parti politik dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah baru-baru ini.

Isu pembukaan sidang Parlimen dipolemikkan dan menjadi perdebatan hangat pihak luar selepas titah Agong agar sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Zahid mungkin terlupa Menteri UMNO yang berada dalam kerajaan PN kini sedang bertungkus-lumus memastikan penularan Covid-19 ditangani dengan segera dan mereka juga adalah sebahagian komponen penting dalam membuat keputusan bersama kerajaan.

UMNO bukan parti pembangkang tetapi adalah termasuk dalam pentadbiran kerajaan yang sedang memerintah ketika ini, jadi apakah relevannya untuk Zahid seakan senada dengan blok pembangkang dan adakah beliau juga sebenarnya mengakui kelemahan Menteri UMNO dalam menjalankan tanggungjawab mereka?

Mungkin sudah sampai masanya untuk Zahid tidak lagi berdolak-dalik dan perlu berterus-terang dengan hasrat sebenarnya iaitu bersama Anwar dan DAP membentuk jajaran baharu yang sebelum ini hangat diperkatakan.

Tidak perlu lah untuk beliau membangkitkan soal isu kelemahan kerajaan dan dengan sewenang-wenangnya memberi amaran 14 hari semata-mata untuk menghalalkan tindak tanduk untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Jadi lah seorang pemimpin yang jujur dan jangan menjadi UMNO sebagai cagaran untuk menyelamatkan diri atau sebagai kepentingan diri sendiri.

Tiada ulasan: