Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerjasama politik rentas parti telah dipelopori oleh Kerajaan Persekutuan sejak beberapa bulan yang lalu.
Katanya, kerjasama politik rentas parti merupakan suatu pendekatan politik matang yang berpaksikan kepada keutamaan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat tanpa mengambil kira sebarang perbezaan.
“PAS berpandangan langkah yang diambil adalah selaras dengan realiti politik masa kini dalam konteks pentadbiran negara di seluruh dunia di mana tidak wujud dominasi satu-satu parti politik selepas sesuatu pilihan raya umum diadakan.
“Justeru PAS menyambut baik sambutan pimpinan parti-parti pembangkang utama di negara ini terhadap usaha pemulihan negara yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan yang turut memberikan ruang yang luas kepada semua pihak untuk sama-sama menyumbang idea dan buah fikiran dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 serta kesan-kesannya termasuk aspek ekonomi dan sosial,” kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.
Menurut Takiyuddin, PAS yakin dalam masa yang sama Kerajaan akan terus berinteraksi dan mewujudkan kerjasama yang lebih konstruktif melibatkan semua pemegang taruh termasuk pihak pembangkang ke arah langkah-langkah reformasi merangkumi semua sektor, institusi dan segmen masyarakat.
Beliau berharap pendekatan berkenaan akan menjadi suatu permulaan yang baik bagi pembentukan landskap baharu politik negara yang mementingkan kesejahteraan, keharmonian dan keadilan kepada semua rakyat yang terdiri dari masyarakat majmuk.
Semalam Ismail Sabri mengundang Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ke pejabatnya di Putra Perdana.
Ismail Sabri berkata, pertemuan itu berjaya mencapai persetujuan bersama barisan pemimpin pembangkang bagi memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif.
Pertemuan bersama pihak pembangkang itu turut tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19.
Beliau bersama pemimpin-pemimpin pembangkang juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.-SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan