HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Ogos 2021

Lantik Noh jadi menteri, wakili suara parti dari Selangor – Pemuda UMNO

Nizam Zain
MGF02092020_REPORT-POLIS-FITNAH-NOH-OMAR-4
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd. Dendera Billah Zamzuri.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan tumpuan kepada pembangunan politik di negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang terutamanya Selangor.

Ketuanya, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, setelah lebih satu dekad ditadbir Pakatan Rakyat (PR) dan seterusnya Pakatan Harapan (PH), perkembangan politik dan pentadbiran di negeri itu didakwa tidak memberangsangkan.

Bagi tujuan itu terdapat keperluan Kerajaan Persekutuan untuk melantik pemimpin UMNO di Selangor untuk diangkat menjadi menteri Kabinet baharu yang akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

“Langkah ini penting bagi pengimbangan kuasa, sekaligus akan berupaya menjadikan Kerajaan Persekutuan lebih inklusif dan terbuka dalam pentadbiran.

“Calon terbaik bagi mewakili UMNO Selangor adalah Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar yang merupakan satu-satunya ahli Parlimen UMNO di Selangor.

“Pelantikan beliau semestinya akan dapat meningkatkan lagi keupayaan kerajaan dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat Malaysia, sekaligus meningkatkan keutuhan persepakatan Muafakat Nasional (MN) di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Dendera juga merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Bera itu yang dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan dan meletakkan keyakinan terhadap keupayaan Ismail Sabri untuk memulihkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi.

“Mengikuti perkembangan karier beliau (Ismail Sabri) dalam politik dan pentadbiran, kami percaya beliau akan melaksanakan tugas dengan baik bagi menyelesaikan segala permasalahan yang sedang dihadapi oleh negara pada ketika ini,” katanya.

Beliau turut berharap Perdana Menteri dapat memberikan fokus kepada agenda melawan penularan pandemik Covid-19 khususnya di Lembah Klang yang mempunyai jumlah kes harian tertinggi di negara ini.

“Ia bertepatan dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 Tahun 2021 semalam.

“Komitmen kerajaan persekutuan amatlah ditagih pada ketika ini, di kala Selangor masih lagi menjadi penyumbang terbesar kepada statistik penularan jangkitan Covid-19 di negara ini.

“Kami yakin dengan ketokohan kepimpinan Perdana Menteri, Kerajaan Persekutuan akan dapat meningkatkan keupayaan negara untuk pulih dan bangkit semula, terutamanya dari sudut pembangunan ekonomi dan sosial rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: