Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, UPKO telah membuat permohonan rasmi untuk menyertai Pakatan Harapan.
Menurutnya, Majlis Presiden Pakatan Harapan telah membuat keputusan untuk menerima permohonan tersebut sekaligus menjadikan UPKO sebagai parti komponen PH.
“Pada waktu ini, sukacita saya umumkan bahawa Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telah membuat permohonan rasmi untuk menyertai Pakatan Harapan.
“Mesyuarat Majlis Presiden hari ini telah membuat keputusan untuk menerima UPKO sebagai salah satu parti komponen Pakatan Harapan.
“Pakatan Harapan percaya penyertaan UPKO ini akan terus memperkukuh kerjasama terutama dalam persiapan menuju PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, Majlis Presiden Pakatan Harapan juga membuka pintu kepada parti pembangkang lain untuk menjadi salah sebuah parti komponen dalam PH.
“Dalam semangat ‘Khemah Besar’ yang dinyatakan di dalam Ketetapan Port Dickson, Pakatan Harapan akan meneruskan serta memperkukuh kerjasama dengan Warisan, Pejuang, UPKO, PSB, Muda dan Bebas demi memastikan blok pembangkang bertambah berkesan dan bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
“Seperti yang telah diumum sebelum ini, satu pertemuan ketua-ketua parti Pembangkang akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan isu-isu politik semasa termasuk persiapan menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula pada 6 September nanti.
“Pintu Pakatan Harapan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti Pembangkang yang lain, malah kami juga mengalu-alukan sekiranya parti-parti ini membuat permohonan untuk menyertai Pakatan Harapan,” katanya.
Dalam kenyataan itu, Saifuddin Nasution mewakili Majlis Presiden Pakatan Harapan mengucapkan terima kasih kepada 105 ahli Parlimen pembangkang dari Warisan, Pejuang, UPKO, PSB, Muda dan Bebas yang telah mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri minggu lalu. -SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan