HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Ogos 2021

Larangan ahli politik ceramah di masjid, surau: ADUN PKR berang campak kad tauliah

Mohd Fakhrulrazi Mokhtar mempertikaikan ahli politik tidak dibenarkan 
mengajar agama Islam di masjid dan surau di Selangor walaupun mempunyai 
kad tauliah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang ADUN PKR meluahkan ketidakpuasan hati dengan larangan terhadap wakil rakyat yang mempunyai kad tauliah untuk memberi ceramah agama di masjid dan surau di Selangor.

Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (PKR-Meru) mendakwa, ada pegawai kerajaan yang bermain politik dengan menghalang wakil rakyat sepertinya daripada terlibat dengan program di masjid dan surau termasuk di kawasannya.

“Bagi pandangan saya kakitangan kerajaan juga berpolitik. Saya sendiri sebagai ADUN dihalang melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat di masjid dan surau.

“Ramadan lepas saya datang menziarahi program bubur lambuk pun dipertikai sama ada mendapat kebenaran atau tidak.

“Ini tauliah (tunjuk kad tauliah) dikeluarkan untuk saya mengajar agama, ceramah tapi saya tidak boleh guna. Buat apa beri bagi tauliah ini kalau saya tak boleh mengajar? Untuk apa keluarkan?

“Apa guna saya sebagai pemimpin tapi tidak boleh menasihatkan rakyat saya sendiri di (surau dan masjid),” katanya sambil mencampakkan kad tauliah itu.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Fakhrulrazi turut mendakwa pegawai agama Islam daerah Klang diarah menghalangnya terlibat dengan program di surau dan masjid.

“Ini satu kebiadapan kepada kerajaan kita sendiri. Sedangkan tanggungjawab kami kepada rakyat untuk mendekati dan menerangkan isu-isu tetapi kami dihalang. Harap diberi perhatian.

“Ada dalam kalangan pegawai kerajaan berpolitik, berselindung di sebalik jawatan mereka,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Amirudin Shari berkata, individu berstatus ahli politik tidak akan diberi tauliah mengajar agama Islam di masjid dan surau di Selangor.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 6 April lalu.

Makan daging babi jijik, terima rasuah tak jijik

Dalam ucapannya, Fakhrulrazi turut menyentuh soal isu rasuah yang membabitkan kakitangan kerajaan di negeri itu sehingga mendapat perhatian Sultan Selangor.

Katanya, isu rasuah dilihat berleluasa antaranya disebabkan kurangnya jumlah pegawai penguat kuasa seterusnya pemantuan tidak dapat dijalan secara menyeluruh.

“Saya dimaklumkan di Selangor jumlah penguat kuasa hanya 70 orang.

“Selain itu, peningkatan berlaku disebabkan soal kejahilan seseorang tentang jenayah rasuah. Orang Melayu Islam jijik makan babi, jijik minum arak, tapi tak jijik ambil rasuah, sedangkan makan rasuah dosanya lebih besar daripada makan khinzir,” katanya.

Tiada ulasan: