HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Ogos 2021

Kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ belum tentu stabil – Pemuda Amanah

Manzaidi Mohd Amin

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) beranggapan kerajaan yang stabil belum dapat dicapai sepenuhnya lagi walaupun Perdana Menteri baharu telah selesai mengangkat sumpat jawatan.

Timbalan Ketuanya, Muhammad Taqiuddin Cheman berkata, dalam tempoh tidak sampai 24 jam mengangkat sumpah, sudah kedengaran pelbagai permintaan dan perselisihan sesama mereka dalam menentukan bentuk kerajaan yang ingin dibawa.

“Tidak kurang juga kenyataan secara terang-terangan mahu nama kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikekalkan bagi memperlihatkan dominasi parti itu dalam kerajaan.

“Perebutan secara terbuka untuk mndapatkan jawatan Timbalan Perdana Menteri juga disuarakan parti yang berada dalam kerajaan sekarang terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Ini menunjukkan kerajaan sekarang masih bergelut untuk memenuhi kehendak parti masing-masing melebihi kepentingan untuk menyelesaikan masalah dihadapi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Taqiuddin berkata, tidak hairan mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri tidak berminat menubuhkan kerajaan perpaduan bersama pembangkang meskipun saranan dari istana supaya membawa polisi ‘yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua’.

Beliau turut melahirkan rasa bimbang sekiranya jalan mudah yang diambil Ismail Sabri untuk memenuhi kehendak semua parti mengangotai kerajaan dengan membentuk saiz Kabinet yang besar.

Ini, jelas beliau, sekali lagi bertentangan dengan hasrat rakyat agar perbelanjaan membiayai kabinet dapat dikurangkan dalam kerajaan baharu ini.

“Pemuda Amanah mengingatkan Ismail Sabri agar tidak mengulangi kesilapan dan kegagalan yang sama seperti kerajaan sebelum ini semata-mata hendak memenuhi tuntutan pihak tertentu dalam gabungan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: