HALAMAN SANTAI

Ahad, 19 September 2021

Abu Sofian ketuai Biro Ekonomi Bumiputera Putra

abu-sofian
Prof. Dr. Abu Sofian Yaacob.

KUALA LUMPUR – Pakar ekonomi yang juga mantan pensyarah universiti awam, Prof. Dr. Abu Sofian Yaacob dilantik sebagai Pengerusi Biro Ekonomi Bumiputera Parti Putra Malaysia.

Pelantikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Putra Negeri Sembilan itu diumumkan Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali dengan persetujuan Ahli Dewan Tertinggi (ADT) parti dalam mesyuarat secara maya, hari ini.

Menurut Setiausaha Agung Putra, Borhan Ahmad Zakaria, pelantikan Abu Sofian yang juga Ketua Penaja Putra Bahagian Tampin itu dibuat selaras dengan kehendak dan tuntutan Fasal 9.3.1 Perlembagaan Putra.

Sementara itu, katanya, mesyuarat ADT juga menetapkan tarikh persidangan tahunan di peringkat cawangan, sayap, bahagian dan perhimpunan agung tahunan.

MGF07032020_PELANCARAN-PUTRA-TITIWANGSA-DAN-SETIAWANGSA11
Borhan Ahmad Zakaria

Katanya, memandangkan negara masih dalam pandemik Covid-19, maka persidangan bagi semua peringkat itu akan diadakan secara atas talian dengan kebenaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Mesyuarat ADT Putra hari ini juga berpuas hati dengan pencapaian luar biasa parti itu, walaupun kewujudannya baru berusia lebih dua tahun.

“Antara kejayaan itu ialah Putra telah memperolehi sijil sah untuk penubuhan 95 bahagian di seluruh negara.

“Sebanyak 63 bahagian lagi kelulusannya masih dalam proses dan sijilnya dijangka diperolehi dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tiada ulasan: