HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 September 2021

Isu RM13 juta, Mukhriz saran MB Kedah buat laporan polis


Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyarankan Menteri Besar (MB) Kedah Muhammad Sanusi Md Nor membuat laporan polis berhubung dakwaan isu wang RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) yang dipindahkan ke luar negara.

Bekas MB Kedah itu menafikan sepanjang mentadbir kerajaan negeri mengetahui tindakan sejumlah wang milik MBI yang dipindahkan ke Kanada seperti didakwa oleh Sanusi tersebut di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

“Ini kali pertama saya dengar mengenai kejadian ini. Jadi saya ingin sarankan Muhammad Sanusi buat laporan polis kalau beliau benar-benar percaya benda itu berlaku.

“Dalam Sidang DUN hari ini, beliau (Muhammad Sanusi) baru ditegur agar berhati-hati beri kenyataan. Jadi apabila beliau buat kenyataan begitu dalam sidang akhbar, itu satu dakwaan serius,” katanya dipetik dalam satu laporan media.

Jelasnya lagi, dakwaan tersebut dianggap satu tuduhan yang serius terhadapnya dan menuntut satu kenyataan rasmi menjelaskan mengenai perkara tersebut dari Sanusi.

“Kita harap boleh dapat kenyataan rasmi kerana beliau (Muhammad Sanusi) tidak sepatutnya melontarkan dakyah atau tohmahan begitu saja seolah-olah langgar dan lari.

“Dakwaan ini perlu dibuktikan dengan saya pun tak tahu apa ceritanya. Saya menantikan kenyataan rasmi mengenai tuduhan dibangkitkan itu,” katanya lagi.

Terdahulu, Sanusi semasa sidang DUN semalam mendedahkan wang milik MBI bernilai RM13 juta dipindahkan ke Kanada semasa pentadbiran kerajaan terdahulu, malah beliau masih menyimpan slip yang didakwanya bukti transaksi pemindahan urusan tersebut.

“Saya tak pernah sebut pada sesiapa pun, hari ini baru saya sebut dan slip bank pemindahan wang itu saya ada simpan,” katanya pada sidang media semalam.

Tiada ulasan: