HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 September 2021

Lagi gagal DAP hanya beri RM30 kepada rakyat, kata Wan Saiful


Jika dibandingkan dengan kegagalan DAP ia lebih teruk lagi apabila rakyat hanya ingat bantuan RM30 yang pernah diumumkan Lim Guan Eng semasa mereka berkuasa, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Ketua Penerangan Bersatu itu membidas pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang masih cuba menggunakan retorik kerajaan gagal walhal parti tersebut sudah bersetuju bekerjasama dengan kerajaan kini yang diterajui UMNO walaupun mendakwa ia gagal sebelum ini.

Kit Siang mungkin nyanyuk atau terlupa yang anaknya, Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP sudah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan malah lebih memalukan mereka kini menyokong kerajaan dipimpin UMNO.

Wan Saiful membidas pemimpin DAP itu supaya tidak membuat tuduhan yang tidak berasas dengan mendakwa kerajaan dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini gagal.

“Peratusan yang mendapat vaksin adalah tinggi dan terus meningkat.

“Bekalan vaksin kita mencukupi. Tan Sri Muhyiddin arahkan supaya RM530 billion diagihkan untuk bantu rakyat. Jumlah yang amat besar. Bukan macam DAP yang mahukan rakyat bersyukur sebab dapat RM30 sahaja,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, hasil inisiatif dan bantuan yang dilaksanakan semasa pentadbiran Muhyiddin juga berjaya memulihkan keadaan ekonomi negara daripada terus menjadi buruk.

“Perniagaan kecil dan sederhana juga mendapat pelbagai bantuan dalam usaha memulihkan ekonomi,” katanya lagi.

Menurut Wan Saiful, rakyat sebenarnya lebih bimbang dengan DAP yang tidak diketahui niat mereka apabila kini sanggup pula bekerjasama dengan UMNO memandangkan ideologi sosialis yang dibawa oleh parti itu.

“Tak ada sebab nak bimbang dengan peranan Tan Sri Muhyiddin kerana hari ini rekod Tan Sri Muhyiddin ialah rekod kejayaan.

“Yang kita patut bimbang ialah usaha parti aliran sosialis seperti DAP yang tidak diketahui niat sebenarnya,” ujarnya lagi.

Ujar Wan Saiful, lantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) tidak perlu dipolitikkan kerana realitinya kejayaan yang dicapai oleh kerajaan dalam melawan penularan Covid-19 hari ini adalah hasil perancangan kerajaan terdahulu.

“Kembali kepada MPN, hakikatnya, kerajaan membuat keputusan yang betul melantik Tan Sri Muhyiddin mengepalai MPN. Hasil-hasil perancangan Tan Sri Muhyiddin sudah mula dirasai hari ini,” katanya lagi.

Tiada ulasan: