HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 September 2021

Krisis politik tidak lemahkan semangat Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Krisis politik yang berlaku sehingga menyebabkan terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, tidak melemahkan semangat Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus melakukan perkara yang difikirkannya wajar dan mengutamakan rakyat.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), berkata soal menyesal dengan tindakan peletakan jawatan itu tidak timbul kerana apa yang dilakukannya adalah mendokong prinsip Perlembagaan selepas hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

"Selepas 15 Ahli Parlimen UMNO tidak menyokong saya, maka saya tidak boleh bertahan lama. Saya perlu melaksanakan tanggungjawab saya sebagai manusia Islam untuk meninggalkan jawatan itu.

"Saya terima ia sebagai satu takdir, qada dan qadar tapi ia tidak melemahkan semangat saya untuk terus membuat apa yang saya fikirkan wajar dan betul di sisi Allah. Itu jadi panduan saya.

"Soal menyesal atau tidak, tidak pernah berbangkit dalam kamus hidup saya kerana apa yang paling utama adalah amanah yang saya pikul untuk melaksanakan tugas dengan sebaiknya dan mengutamakan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam sebuah program di stesen televisyen tempatan, malam tadi. Muhyiddin ditanya sama ada beliau menyesal melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos lalu selepas beliau hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen. Susulan itu, Datuk Seri Ismail Sabri yang sebelum itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu selepas mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen.

Pada 4 September lalu, Muhyiddin dilantik sebagai Pengerusi MPN, majlis yang ditubuhkannya ketika beliau menerajui negara, yang berperanan memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan lancar dan mengukuhkan lagi strategi kawalan wabak COVID-19 secara holistik.

Mengenai bidang kuasanya sebagai Pengerusi MPN, Muhyiddin berkata, Perdana Menteri memaklumkan, ia masih sama seperti ketika beliau mempengerusikanya sebelum ini, kecuali yang membabitkan soal kewangan.

"Ini bermakna, jika ada keputusan yang dibuat MPN nanti, maka itu harus kita laksanakan terus, terutama mengenai dasar.

"Skop (tugas) yang diberikan pada saya cukup baik. Saya boleh buat keputusan segera dan ini tidak boleh berlengah-lengah," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau juga sudah mula mengatur keutamaan yang perlu diberikan MPN bagi memastikan perancangan yang dibuat tepat dan sampai kepada kumpulan sasar.

"Jadi, apa yang saya harapkan adalah sokongan ahli MPN, tidak kisah daripada kerajaan, pembangkang atau profesional.

"Kita harus ketepikan soal itu kerana apa yang penting adalah menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat," katanya.

Tiada ulasan: