HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 September 2021

Najib penasihat PM? Fikir masak-masak Tok Mail

Inland Revenue Board Wants Najib Razak To Pay RM1.69bil In Taxes | News |  Rojak Daily

Betul atau tidak belum pasti, tapi sudah kecoh kononnya Datuk Seri Mohd Najib Razak bakal dilantik sebagai penasihat ekonomi kepada perdana menteri.

Ramai juga yang percaya terutama apabila bekas menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengalu-alukan jika betul ada perancangan demikian kerana baginya, Najib punya pengalaman cukup luas semasa sembilan tahun menjadi perdana menteri termasuk juga sebagai menteri kewangan sebelum ini.

Namun, ramai juga menggeleng kepala dan tertanya-tanya adakah pemegang-pemegang kuasa di Putrajaya serius mahu mempertimbangkan kembalinya Ahli Parlimen Pekan itu ke koridor kuasa.

Adakah rakyat sudah lupa Najib adalah individu di tengah-tengah skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), skandal penyelewengan kewangan terbesar negara yang menggemparkan dunia?

Jika mengikuti siri perbicaraan skandal berkenaan di mahkamah, dibentangkan betapa luasnya operasi untuk menyeleweng dana negara itu, betapa banyaknya wang dicuri sehingga kira-kira sedozen negara lain turut melancarkan siasatan dan mendakwa dalang-dalang di sebalik jenayah kewangan rentas sempadan ini.

Skandal ini turut memalukan Malaysia di mata dunia, kerajaan Najib dirujuk sebagai ‘kleptorasi’ oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS).

Walaupun kemudian cuba menjauhkan diri daripada kes penyelewengan dana pelaburan negara itu, hakikatnya beliau sudah dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara bersama denda RM210 juta, sabitan yang sudah difailkannya untuk rayuan.

Ada banyak lagi pertuduhan dihadapi bekas perdana menteri kita ini yang dirujuk oleh pihak berkuasa AS sebagai ‘MO1’, semuanya berkait dengan 1MDB, sama ada secara langsung atau tidak.

Hakim Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara ke atas Najib sebelum ini, melalui penghakiman bertulisnya, menyifatkan kes itu sebagai kes salah guna kuasa dan pecah amanah (CBT) paling teruk melibatkan orang paling berkuasa dalam kerajaan.

Justeru, adakah kita semua bersedia membentang permaidani merah kepada Najib untuk beliau mengisi jawatan yang begitu dekat dengan ekonomi dan kewangan negara?

Jika benar apa yang disebarkan, apa bentuk mesej ingin disampaikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kerusi orang nombor satu di Putrajaya pun belum panas lagi.

Apa yang perdana menteri mahu sampaikan mengenai keutamaan dan prinsipnya? Adakah Malaysia ketandusan pakar dalam bidang ekonomi hingga seorang yang sudah disabitkan bersalah dalam jenayah kewangan mahu pula dilantik menjadi penasihat ekonomi perdana menteri?

Jika benar Najib kembali ke dalam kelompok pemegang kuasa nanti, apa jaminan tidak akan ada campur tangan atau tekanan dalam senarai panjang kes-kes jenayah yang beliau hadapi?

Adakah kita lupa bahawa Najib dan partinya ditolak oleh pengundi pada pilihan raya umum 2018 lalu? Punca utama mereka tidak dipilih rakyat adalah kerana skandal 1MDB yang beliau jadi pengerusi.

Mahkamah Tinggi sudah mendapati beliau bersalah dan menyeleweng kuasa dan jika tidak kerana proses rayuan, Najib kini sudah berada dalam penjara, bukan lagi bermain politik, arena yang membuka ruang untuknya melakukan jenayah kewangan yang masih diperkatakan dunia.

Jika benar Ismail Sabri mahu membawa Najib kembali ke Putrajaya, maka perdana menteri turut meletakkan dirinya dalam risiko sama, berisiko disingkir dari puncak kuasa .

Ia bukan perkara mustahil kerana kita sudah pun mempunyai tiga perdana menteri walaupun pilihan raya umum baru dilangsungkan tiga tahun lalu. AGENDA DAILY

Tiada ulasan: