HALAMAN SANTAI

Ahad, 17 Ogos 2008

Ali Rustam ajak rakyat kibar Jalur Gemilang sepanjang tahun

MELAKA: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengajak rakyat di negeri ini supaya mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang tahun sebagai tanda cinta mereka kepada negara.

"Saya menyeru rakyat di Melaka untuk sama-sama mengibar Jalur Gemilang sebagai tanda sayangnya kita kepada negara yang tercinta ini," katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan Setiausaha Kerajaan Melaka Datuk Omar Kaseh pada majlis pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Bandar Hilir, di sini Ahad.

Mohd Ali berkata, adalah menjadi kewajipan bagi rakyat sebuah negara yang berdaulat dan merdeka untuk sama-sama mengibar Jalur Gemilang sebagai tanda terima kasih dan syukur kerana dapat hidup aman di bumi bertuah ini.

"Kita tidak harus segan silu mengibarkan bendera di rumah, kedai, pejabat, sekolah dan kenderaan yang kita naiki," katanya.

Katanya, perayaan kemerdekaan negara ke-51 kali ini lebih bermakna bagi rakyat negeri ini kerana Melaka telah diiktiraf sebagai Bandaraya Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 7 Julai lepas.

Majlis pelancaran itu turut dimeriahkan dengan Larian Merdeka oleh lebih 500 pelajar sekolah dan pengagihan Jalur Gemilang kepada orang ramai. BERNAMA

Tiada ulasan: