HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 Ogos 2008

Ar-Rahn bayar balik hampir RM20 juta kepada pemilik mulai September

KOTA BAHARU: Kedai pajak gadai Islam, Ar-Rahn di sini yang dipecah masuk 9 Ogos lalu akan membuat pembayaran hampir RM20 juta kepada pemilik barangan kemas yang berurusniaga dengannya mulai September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata syarikat milik kerajaan negeri itu akan membuat bayaran ganti rugi 100 peratus kepada pemilik.

"Kita akan membuat pembayaran mulai September ini selama tiga bulan. Bayaran akan dibuat mengikut tarikh pemilik barangan kemas itu berusniaga dengan Ar-Rahn. Siapa yang berurusniaga awal akan dibayar awal," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco negeri di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun dalam peruntukan undang-undang sepatutnya pihak syarikat hanya membayar 75 peratus daripada nilai barangan kemas yang digadai, namun atas permintaan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ia dibayar sepenuhnya.

Katanya bayaran itu diperolehi dari tuntutan insuran dan dana Ar-Rahn sendiri.

Pada awal pagi 9 Ogos, empat lelaki bertopeng memecah masuk dan melarikan barangan kemas dari kedai pajak gadai Islam itu, cawangan Kota Bharu 1, di Jalan Temenggung bernilai RM19.9 juta.

Rompakan itu adalah yang terbesar dalam sejarah di negeri ini.

Barang kemas berkenaan dipercayai kepunyaan puluhan ribu pelanggan yang dijadikan cagaran untuk mendapatkan wang tunai secara mudah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, penceroboh bagaimanapun tidak sempat mengambil kesemua barang simpanan dan wang tunai di dalam bilik kebal.
Mengulas mengenai Rang Undang-undang Identifikasi DNA 2008 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin lalu, Husam berkata waktu pembentangannya tidak sesuai dengan suasana politik dan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh sekarang.

"Ia lebih menuju kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebelum ini sudah tujuh tahun ia dicadangkan kenapa baru sekarang hendak dibentangkan," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: