Barang kemas Ar rahn dicuri RM 19.9 juta
Utusan Online
KOTA BHARU - Polis Kelantan hari ini mengesahkan barang kemas yang dilarikan pencuri dari pajak gadai Islam, Ar-Rahn cawangan Kota Bharu 1, di Jalan Temenggung di sini awal pagi Sabtu lalu bernilai RM19.9 juta.
Difahamkan ia merupakan kes kecurian terbesar dalam sejarah di negeri ini dan barang kemas berkenaan dipercayai kepunyaan puluhan ribu pelanggan yang dijadikan cagaran untuk mendapatkan wang tunai secara mudah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, penceroboh bagaimanapun tidak sempat mengambil kesemua barang simpanan dan wang tunai di dalam bilik kebal yang keseluruhannya bernilai lebih RM28 juta.
"Jumlah barang kemas masih tertinggal bernilai RM8 juta yang berada di dalam 238 kotak di samping wang tunai berjumlah RM390,000," katanya di sini hari ini.
Empat pencuri bertopeng menceroboh premis Ar-Rahn kira-kira pukul 12.09 pagi dan menggunakan peralatan canggih bagi memasuki bilik kebal dan membuka peti simpanan.
Menurutnya, polis mempertingkatkan gerakan memburu penjenayah tersebut termasuk mengadakan sekatan jalan raya di seluruh negeri.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninjau premis itu semalam meminta pencuri memulangkan barang itu kerana mereka 'merampas' harta orang miskin.
Nik Aziz yang begitu kecewa dengan kehilangan barang kemas itu berkata, biarpun hanya orang yang terlalu jahat melakukan jenayah itu, mereka sewajarnya turut mempunyai sedikit timbang rasa.
Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan