HALAMAN SANTAI

Khamis, 14 Ogos 2008

Kes Anwar - Mahkamah syariyah atau mahkamah sivil ?
Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Akhirnya Anwar didakwa juga dan kali ini dengan tuduhan berikut :-

Bahawa kamu, pada 26 Jun 2008 antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang di alamat Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, No 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan Mohd Saiful Bukhari bin Azlan dengan memasukkan zakar kamu ke dalam duburnya; dan oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Kes berunsur seks seperti zina, rogol dan liwat adalah senjata yang paling ampuh untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin termasuk pemimpin politik. Kes-kes sebegini mudah untuk dibuat dan sekiranya seseorang itu dituduh dengan kesalahan tersebut amat sukar untuk beliau membuktikan sebaliknya . Apa yang beliau boleh buat hanya menafikan hal tersebut. Atas dasar itulah di dalam Islam , mereka yang menuduh seseorang dengan kesalahan seks seperti zina dan liwat, diletakkan syarat ianya mesti disaksikan oleh empat saksi. Di dalam undang-undang sivil juga disyaratkan bagi kes-kes seperti ini keterangan pihak pengadu sahaja tidak mencukupi sebaliknya mesti ada keterangan sokongan yang dipanggil “corroboration”.

Ada dua senario yang akan berlaku di dalam kes tuduhan liwat ini. Senario pertama adalah sama ada kes ini wajar dibicarakan di Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah ?
Memandangkan Anwar telah didakwa di Mahkamah sivil iaitu pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan ( Penal Code ) persoalan yang timbul ,adakah pendakwaan tersebut dikira sah ?

Mereka yang mengatakan pendakwaan tersebut adalah sah akan berhujah bahawa Kanun Keseksaan adalah satu undang-undang umum yang mana pemakaiannya adalah tidak terhad kepada agama seseorang. Dengan kata lain ianya terpakai kepada orang Islam dan juga bukan Islam. Berdasarkan hal tersebut, mana-mana orang yang didakwa di bawah mana-mana kesalahan di bawah Kanun Keseksaan berhak didakwa oleh Peguam Negara di Mahkamah sivil ( sama ada Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi )

Mereka yang mengatakan pendakwaan tersebut adalah tidak sah pula akan berhujah bahawa benar Kanun Keseksaan adalah umum dan terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam. Namun kes ini berbeza dari beberapa sudut.

Pertamanya kesalahan liwat bukan sahaja merupakan kesalahan di dalam Kanun Keseksaan tetapi ia juga satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 ( Akta 559 ) ( lihat seksyen 25 Akta tersebut ). Ia tidak seperti kes mencuri atau merompak misalnya. Di dalam undang-undang di negara ini kes mencuri dan merompak hanyalah kesalahan di dalam Kanun Keseksaan sahaja. Kesalahan tersebut hanya boleh didakwa di Mahkamah sivil sahaja kerana ia bukan satu kesalahan di dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 . Jadi tidak timbul ia boleh didakwa di Mahkamah Syariah.

Oleh itu mana-mana orang Islam yang dituduh dengan kesalahan mencuri tidak boleh berhujah bahawa ia perlu didakwa di Mahkamah Syariah kerana sehingga kini mencuri bukan satu kesalahan yang boleh didakwa di Mahkamah Syariah. Jangan salahkan Mahkamah Syariah tapi salahkan UMNO/BN yang bertanggungajwab menggubal undang-undang tersebut.

Keduanya di dalam kes ini baik orang yang menuduh ( Saiful ) dan juga bakal tertuduh ( Anwar ) adalah mereka yang beragama Islam. Mahkamah syariah hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

Ketiganya , tuduhan liwat di Mahkamah Syariah juga berkaitan dengan kesalahan qazaf. Di dalam kes kali ini , Anwar telah secara rasmi membuat satu laporan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan ( JAWI ) berhubung dakwaannya bahawa lelaki yang menuduh beliau iaitu saudara Saiful telah melakukan kesalahan qazaf.

Keempat tuduhan liwat , menurut Ulama’ Islama adalah sama dengan tuduhan zina. Maka mereka yang menuduh seseorang lain melakukan liwat adalah sama seperti menuduh orang lain melakukan zina . Oleh itu ia perlu mendatangkan empat orang saksi yang melihat kejadian tersebut. Jika tidak ia boleh didakwa melakukan kesalahan qazaf .Jika dakwaan Anwar diterima oleh JAWI, JAWI bertanggungjawab mendakwa Saiful dengan kesalahan qazaf. Kesalahan qazaf hanya boleh didakwa di Mahkamah Syariah sahaja.

Kelima, kes ini jika dilihat kepada “subject matter”nya menyentuh tentang precepts of Islam, maka berdasarkan Artikel 121 (1A ) Perlembagaan Persekutuan , Mahkamah yang layak mendengar kes liwat ini adalah Mahkamah Syariah. Oleh itu pendakwaan di Mahkamah sivil adalah tidak sah dan wajar dibatalkan.

Keenam Anwar tidak boleh didakwa di kedua-dua Mahkamah atas kesalahan yang sama ( liwat ) kerana ia akan bercanggah dengan Perkara 7 Perlembagaan Persekutuan yang memakai prinsip “ double jeopardy.”

Kesimpulannya hujah untuk Mahkamah Syariah mendengar kes ini adalah lebih kuat .
Senario kedua pula adalah jika JAWI menerima laporan qazaf yang dibuat oleh Anwar sekaligus mendakwa Saiful, adakah Saiful akan berjaya disabitkan dengan kesalahan tersebut ?

Dalam hal ini ada beberapa perkara yang mungkin boleh dibangkitkan oleh Saiful atau peguamnya jika beliau didakwa dengan tuduhan kes qazaf.

Pertamanya, jika dilihat kepada kesalahan qazaf di dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan, qazaf hanya dikaitkan dengan tuduhan zina sahaja . Perkataan liwat tidak dinyatakan secara spesifik. Ini mungkin boleh digunakan oleh peguam Saiful untuk berhujah bahawa berdasarkan apa yang dinyatakan di dalam Akta , tuduhan ke atas beliau tidak boleh disabitkan. Bagaimanapun pendakwa dengan mudah boleh menjawab isu ini dengan mengemukakan hujah berikut . Ya, benar di dalam Akta hanya dinyatakan zina tetapi menjadi satu tanggungjawab Hakim untuk menafsirkan undang-undang – iaitu sama ada zina juga termasuk liwat .

Dalam konteks Mahkamah Syariah, sudah tentu Hakim perlu merujuk pendapat para fuqaha’ Islam dan jika dirujuk pendapat yang muktabar sudah tentu Hakim Mahkamah Syariah tidak berhadapan masalah untuk menafsirkan perkataan zina termasuk juga di dalamnya kesalahan liwat.

Keduanya, dan ini saya nampak lebih kuat dibanding yang pertama. Saiful mungkin boleh berhujah di dalam Islam qazaf adalah satu kesalahan yang mana hukumnya telah ditetapkan oleh Al-Quran iaitu sebanyak 80 rotan jika disabitkan.

Memandangkan qazaf termasuk di dalam jenayah hudud, maka hukuman 80 rotan tidak boleh ditukar , diubah atau dipinda kerana hudud adalah “uqubah muqadarrah.” Jadi, bagaimanakah kamu ingin mengatakan kesalahan yang dinyatakan di dalam Akta tersebut adalah kesalahan qazaf jika ianya dengan secara jelas diubah dari hukum Al Quran iaitu dari 80 rotan kepada hukuman denda , penjara atau hukuman rotan yang tidak boleh melebihi enam rotan.

Eloklah para pembaca memikirkan jawapan kepada persoalan ini. Bagi saya inilah kesalahan besar UMNO di dalam negara ini – terlalu berani menukar hukum Allah !!!

Kesimpulannya kes Anwar ini pentas ujian untuk menentukan sama ada UMNO ikhlas dan berani ingin melaksanakan syariat Islam. Kalau ikhlas dan berani barulah seronok nak muzakarah dengan PAS.

Tiada ulasan: