HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Ogos 2008

Data transaksi telefon bimbit Azilah dipertikai
Oleh: NORAZLITA MOHD.SIES

SHAH ALAM - Data yang terkandung dalam log panggilan terperinci bagi transaksi panggilan suara dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang digunakan timbalan pendakwa raya untuk mengaitkan tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, adalah tidak sah dan dipertikaikan peguam.

Peguam J. Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah menumpukan hujah pusingan kedua beliau kepada peruntukan Seksyen 90A Akta Keterangan 1950 yang berkisar kepada transaksi bagi talian 016-3636153 yang didaftarkan atas nama kekasih Azilah, Nor Azila Baharudin.

Beliau mempertikaikan tiga bahan bukti iaitu P27 (log panggilan terperinci atau CDR) bagi panggilan keluar masuk dan SMS bagi talian 016-3636153. P370 (data mentah yang di e-mel oleh Penganalisis Teknologi Maklumat di Jabatan IT dan Bil Celcom, Syed Mustaqim Syed Yusof bagi talian 0193636153) dan 372(b) (lampiran lokasi stesen pemancar).

Dalam hujahan bertulis setebal 159 muka surat, pada hemat Kuldeep, ketiga-tiga bahan bukti tersebut mengandungi data yang tidak sah, tidak tepat dan tidak boleh dipercayai.

Hujahan yang dipecahkan kepada beberapa isu, Kuldeep berpendapat, tindakan pendakwaan mengemukakan dokumen- dokumen tersebut sebagai bahan bukti telah mewujudkan rantaian keterangan yang terputus-putus.

Data tersebut juga menurut peguam, telah diubah suai sehingga menimbulkan keraguan.

Disebabkan data yang terkandung tidak tepat dan amat diragui kesahihannya, ia telah memprejudiskan Azilah.

Justeru itu, Kuldeep memohon supaya mahkamah menggunakan budi bicara untuk mengecualikan (mengeluarkan) dan, atau menolak keterangan yang berasaskan kepada ketiga-tiga dokumen tersebut.

Dalam kes itu, Cif Inspektor, Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Sementara penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul membunuh Altantuya.

Dalam prosiding yang masuk hari ke-131 hari ini, Kuldeep berhujah bahawa data-data yang terkandung dalam P27, P370 dan P372(b) tidak sah, tidak tepat dan tidak dapat dipercayai dan tidak menepati peruntukkan di bawah Seksyen 90A AKta Keterangan 1950.

Menyentuh keterangan eksekutif bahagian siasatan dan projek khas Celcom, Mohd. Firdous Mohd. Omar (saksi pendakwa ke-61), Kuldeep berpendapat, butiran dalam dokumen cetakan komputer dan keterangan saksi tersebut, perlu dikeluarkan ataupun ditolak daripada keterangan. Ini kerana terdapat 117 percanggahan antara data dalam P27 (log panggilan terperinci) dan P344 (bil terperinci yang dicetak Mohd. Firdous).

Menyentuh pula kedudukan kolum-kolum yang tidak konsisten dan bertukar-tukar misalnya, Value Cell ID (identiti sebuah stesen pemancar) dan LAC (kod kawasan liputan), Kuldeep menegaskan, ia membawa interpretasi yang berlainan dan menunjukkan kod lokasi yang berbeza.

Kuldeep menegaskan, dalam menentukan lokasi kawasan pemanggil, pendakwaan paling tidak pun mestilah menunjukkan Azilah membuat panggilan di lokasi tersebut. Ini secara tidak langsung, dapat menafikan notis alibi tertuduh pertama itu bahawa dia tidak berada di tempat kejadian.

Azilah dilihat mendengar dengan teliti hujah peguamnya itu. Setiap kali Hakim Datuk Mohd. Zaki Md Yasin berhenti rehat seketika, Azilah dilihat ditemani kekasihnya, Azila yang tidak pernah gagal hadir ke mahkamah sejak hari pertama dia dibicarakan.

Tiada ulasan: