HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Ogos 2008

Jual mainan tidak senonoh
Oleh: Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Syarifah Dayana Syed Bakri

KUALA LUMPUR: Lambakan patung permainan gadis aksi lucah setinggi hampir satu kaki yang dijual di kebanyakan pusat beli-belah terkemuka di ibu negara mengundang rasa kurang senang di kalangan ibu bapa.

Ini berikutan penjualan patung permainan terbabit boleh merangsang minat remaja dan kanak-kanak kepada seks, sekali gus mendedahkan mereka kepada perlakuan tidak bermoral.

Patung terbabit yang tampil sama ada bogel sepenuhnya atau separuh bogel dengan menonjolkan bahagian tertentu diletakkan bersama barang permainan lain, menjadikan sasaran penjualannya di kalangan remaja dan kanak-kanak sekolah.

Difahamkan, kebanyakan patung gadis berahi itu diadaptasi daripada karakter kartun manga atau animasi dalam komik Jepun.

Wartawan Harian Metro membuat tinjauan penjualan patung itu selepas menerima aduan daripada seorang ibu, Normah Abdul Karim, 40, beberapa hari lalu.

Menurut Normah, dia terlihat patung berahi itu ketika membawa dua anak lelakinya berusia 12 dan lapan tahun menonton filem Iron Man di sebuah pusat beli-belah terkenal di sini, baru-baru ini.

Sebelum memasuki panggung wayang, anaknya merayu-rayu di sebuah kedai menjual barang permainan di tingkat lima pusat beli-belah berkenaan.

“Anak yang yang teruja dengan filem berkenaan meminta saya membelikan mereka patung Iron Man di kedai terbabit yang berharga sekitar RM50 setiap satu.

“Sewaktu membelek patung Iron Man, mata anak sulung saya, Aiman, mula menjeling ke rak pameran kaca di belakang kaunter pembayaran yang mempamerkan beberapa patung permainan lain,” katanya yang juga pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska).

Normah yang mulanya menyangka permainan biasa yang diimport dari luar negara itu bagaimanapun terkejut sebaik mendapati rak permainan itu dipenuhi patung gadis beraksi lucah.

Ada patung mainan itu bogel sepenuhnya dengan memperlihatkan bahagian sulit wanita. Malah, kebanyakan patung itu beraksi mengghairahkan sehingga menyebabkan saya sendiri malu untuk memandang.

“Saya lantas menarik anak daripada terus merenung deretan lebih 30 patung lucah berkenaan kerana bimbang boleh merosakkan minda mereka,” katanya yang sempat mempersoalkan penjualan patung terbabit kepada pekerja kedai itu.

Katanya, pekerja berusia 30-an itu memberi alasan patung berharga menjangkau RM200 itu hanya dibeli golongan dewasa yang meminati animasi Jepun.

Dia berkata, alasan diberikan seolah-olah cuba menafikan unsur seks yang ditonjol patung berkenaan.

“Bagi saya penjualan patung seumpama itu satu penghinaan kepada wanita berikutan cuba mengeksploitasi tubuh kaum hawa bagi mendapatkan keuntungan,” katanya.

Sementara itu, wartawan Harian Metro mendapati patung mengghairahkan itu dijual secara terang-terangan di beberapa kedai permainan di pusat beli-belah terkemuka di ibu kota.

Kebanyakan patung itu yang diimport dari China dan Jepun sengaja direka bagi menonjolkan aksi menjolok mata sama ada dengan sedikit pakaian atau bogel sepenuhnya.

Patung itu yang dibungkus rapi dalam kotak khas djual pada harga RM20 hingga RM300 berdasarkan ketinggian dan ketelitian pembuatannya.

Tiada ulasan: